Selasa, 22 Mei 2018 | 10:19am
PENGAMAL media daripada pelbagai agensi berita tempatan dan asing mula berkumpul di perkarangan lobi Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sejak jam 7 pagi tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGAMAL media daripada pelbagai agensi berita tempatan dan asing mula berkumpul di perkarangan lobi Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sejak jam 7 pagi tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pasukan Khas Siasatan 1MDB hadiri mesyuarat

PUTRAJAYA: Pasukan Khas Siasatan 1MDB tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Presint 7, di sini sejak 8.30 pagi tadi bagi menghadiri mesyuarat berkaitan siasatan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dilihat tiba adalah bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Turut kelihatan tiba adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Media dimaklumkan Mohd Shukri dijangka mengadakan sidang media kira-kira jam 11 pagi ini.

Semalam, kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Pasukan itu turut disertai bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Keanggotaan pasukan ini akan terdiri daripada SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

Malah, pasukan sama turut mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur, semalam.

Tinjauan di perkarangan lobi Ibu Pejabat SPRM di sini mendapati, lebih 100 pengamal media daripada pelbagai agensi berita tempatan dan asing mula berkumpul sejak jam 7 pagi tadi.

Pengamal media berkumpul di sini bagi menunggu kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X