Selasa, 22 Mei 2018 | 3:14pm
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika sidang akhbar di ibu pejabat SPRM Putrajaya. - Foto BERNAMA

Kes 1MDB bukan rekaan - KP SPRM

PUTRAJAYA: Kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan cerita rekaan semata-mata tetapi adalah satu kes besar sepanjang mengendalikannya, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Menceritakan pengalaman siasatan kes itu semula, Shukri berkata beliau hampir mati dan ia merupakan satu pengalaman yang menakutkan sepanjang mengendalikan kes tersebut bersama bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Shukri berkata, ketika mengendalikan kes itu, beliau telah diugut untuk dipecat, bersara awal, dipindahkan ke unit lain iaitu bahagian latihan serta menerima ugutan peluru yang dihantar ke rumahnya.

"Saya dan Abu Kassim memulakan siasatan kes SRC International pada bulan Julai 2015 apabila beliau minta saya buka fail dan siasat akaun milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan RM42 juta.

"Kami menerima tekanan yang cukup hebat iaitu ketika menyiasat kes ini, saksi-saksi kami dilarikan malah saksi yang kami panggil untuk mengambil keterangan telah dirampas oleh pihak berkuasa yang lain untuk ditanya apakah maklumat yang diberikan kepada SPRM," katanya dalam sidang media khas SPRM di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata, ketika siasatan 1MDB berada di fasa akhir siasatan kes, beliau telah bertemu dengan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di pejabatnya, sehari sebelum Abdul Gani dipecat daripada jawatannya.

"Kami berjumpa dan membincangkan kes ini dan Abdul Gani berkata kepada saya adakah anda bersedia untuk berdepan hukuman?," katanya.

Shukri berkata, apabila beliau mendapat perkhabaran mengenai pemecatan Abdul Gani keesokannya, beliau turut mendapat maklumat bahawa beliau akan ditangkap atas pertuduhan melakukan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.

Katanya, pada 31 Mei 2015 beliau berlepas ke Washington bagi mendapatkan perlindungan bagaimanapun memaklumkan kononnya beliau akan ke Arab Saudi.

"Saya ubah haluan dan ditularkan yang (kononnya) saya akan ke Arab Saudi menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran merah kepada saya di Jeddah dan dimaklumkan saya akan ditangkap di sana.

"Di Washington pula ada orang ikut saya, pasukan saya ambil gambar dan hantarkan pada saya kemudian saya hantarkan kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan memaklumkan untuk cari pegawai yang lebih bijak untuk ikut saya...Bukan dia ikut saya tetapi saya ikut dia," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X