Selasa, 22 Mei 2018 | 4:13pm
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr Ibrahim Saad (tiga dari kiri) dan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali (tengah) bersama ahli panel Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah (dua dari kiri), Exco Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan (tiga dari kanan), Profesor UKM, Prof Datuk Dr Jenison Jayasoria (dua dari kanan), Dekan UKM, Prof Dr Mohd Fuad Md Jalil dan Moderator, Prof Madya Datuk Dr Mohd Agus Yusof di Bicara PASCA-PRU14 'Ke mana kita selepas ini?' di Bangunan Canselori, UKM Bangi. - Foto Salhani Ibrahim

Kerajaan kotakan janji, mansuh AUKU

BANGI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengotakan janji untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan pelbagai akta mengongkong kebebasan pelajar dan pensyarah seperti dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, satu akta baharu akan digubal untuk melicinkan pentadbiran bagi menggantikan akta berkenaan.

Beliau berkata, akta baharu itu memberi kebebasan kepada pelajar dan pensyarah untuk bersuara tanpa kongkongan seperti sekarang.

Bagaimanapun katanya, mekanisme akta berkenaan akan diumumkan sendiri oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

"AUKU akan dimansuhkah, begitu juga akta lain yang mengongkong siswa dan ahli akademik bersuara dan memberikan idea bernas bagi meningkatkan kualiti akademik demi kepentingan universiti dan negara.

"Sebenarnya, kita tidak bermula dengan kosong kerana perbincangan mengenainya sudah bermula ketika Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjadi Menteri Pengajian Tinggi dan saya timbalannya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian ketika sesi bicara Pasca PRU-14 di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Turut menjadi ahli panel ialah EXCO Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Pensyarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Datuk Dr Jenison Jayasuria dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pembangunan dan Persekitaran UKM, Prof Dr Mohd Fuad Md Jali.

Sesi dikendalikan Pensyarah Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dr Ibrahim Saad dan Naib Canselor universiti itu, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Pemansuhan AUKU adalah antara manifesto PH, selain pemansuhan PerbadananTabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan dasar pendidikan percuma.

Saifuddin berkata, Kerajaan PH juga komited menunaikan janji menghapuskan PTPTN dan melaksanakan sistem pendidikan percuma.

Katanya, dasar pendidikan percuma sudah dilaksanakan di Universiti Selangor (UNISEL) dan kaedah sama akan digunakan.

"Walaupun skop UNISEL kecil, namun ia boleh digunakan. Kita juga mengkaji memansuhkan Majlis Profesor Negara (MPN), kerana ia tidak meningkatkan kualiti akademik, sebaliknya melihat golongan cendekiawan diperalatkan Barisan Nasional (BN), " katanya.

Berita Harian X