Selasa, 22 Mei 2018 | 6:24pm
ROBERT Kuok keluar dari Menara Ilham, Kuala Lumpur selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Percayakan keupayaan Majlis Penasihat Kerajaan - Robert Kuok

KUALA LUMPUR: Tan Sri Robert Kuok meminta semua pihak memberi kepercayaan penuh kepada Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) untuk melihat semula ekonomi Negara.

Beliau menegaskan yang majlis itu dianggotai oleh mereka yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

"Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Marican dan Prof Jomo Kwame Sundaram adalah individu cemerlang. Percayalah mereka," katanya selepas menghadiri mesyuarat MPK buat kali pertama di Menara Ilham di sini, hari ini.

Kuok mengakui tidak dapat menghadiri mesyuarat bersama majlis itu secara kerap, kerana tinggal di Hong Kong.

Beliau juga meminta rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kesejahteraan negara.

Sebelum ini, dalam beberapa siri pertemuan MPK, Kuok diwakili Pengerusi PPB Group Bhd (PPB), Tan Sri Oh Siew Nam.

Sementara itu, Daim ketika diminta mengulas mengenai pertemuan MPK bersama pemimpin tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pegawai atasan kerajaan, berkata tumpuan perbincangan adalah mengenai subsidi bahan api.

Beliau juga menegaskan mesyuarat itu tidak membincangkan berkenaan hutang negara berjumlah RM1 trilion seperti diumum Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Antara pemimpin GLC dan pegawai tertinggi kerajaan yang hadir ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Datuk Shahril Ridza Ridzuan; Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Subromaniam Tholasy serta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Belanjawan Negara (Perkhidmatan Am) Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Berita Harian X