Selasa, 22 Mei 2018 | 10:21pm

Jawatankuasa Siasatan 1MDB selaraskan siasatan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan ditugaskan untuk menyelaraskan siasatan melintasi sektor bagi memastikan pelaksanaan undang-undang yang adil lagi saksama dan menasihatkan majlis itu dengan sewajarnya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini, berkata jawatankuasa itu akan dibantu Pasukan Khas Siasatan 1MDB yang baru ditubuhkan yang melaporkan terus kepada jawatankuasa berkenaan.

"Semua aktiviti siasatan akan dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan di bawah bidang kuasa yang diberikan kepada mereka.

"Tumpuan utama untuk memastikan Malaysia dapat mensabitkan semua salah laku berkaitan 1MDB dan memaksimumkan perolehan semula semua aset yang dapat dikesan berkaitan 1MDB," kata kenyataan itu.

Jawatankuasa Siasatan 1MDB yang dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, dianggotai Rakan PwC Risk Assurance Services, Nik Shahrizal Sulaiman; Rakan Kanan Naqiz Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar; Penasihat Kanan Financial Services Authority Indonesia, Faris Rabidin serta Pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kroni, Cynthia Gabriel.

Pasukan Khas Siasatan 1MDB pula diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Jawatankuasa itu dan pasukan petugas khas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan semalam untuk memberi maklumat terkini mengenai strategi operasi. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X