Khamis, 24 Mei 2018 | 12:42pm
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, menyaksikan ADUN Bintong, Datuk Seri Azlan Man, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal ke-2 di Istana Arau. - Foto Amran Hamid

MB Perlis angkat sumpah tanpa kehadiran ADUN BN

ARAU: Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis pagi ini tanpa kehadiran sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Ketiadaan mereka menimbulkan persoalan kemungkinan kemelut pelantikan Menteri Besar negeri ini belum selesai sepenuhnya.

Difahamkan Sembilan ADUN berkenaan berada di Kuala Lumpur.

Dalam upacara sebentar tadi, tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS hadir.

Istiadat berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, pada jam 11.10 pagi.

Azlan, 60, yang juga ADUN Bintong, dilantik sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua selepas BN berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

BN meraih 10 kerusi, manakala PH hanya tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Pelantikan Menteri Besar Perlis sebelum ini tertangguh, susulan tindakan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim, mengumumkan nama ADUN Tambun Tulan, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya, sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Bagaimanapun, Shahidan dijadual mengadakan sidang media jam 1 tengah hari ini di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, di ibu negara.

Berita Harian X