Sabtu, 26 Mei 2018 | 3:38pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Hamizan Hassan (dua dari kanan) hadir di Dewan Residensi, kediaman rasmi Menteri Besar, Kangar, tengah hari tadi. - Foto ihsan pembaca

ADUN Kayang junjung titah Raja Perlis

KANGAR: "Saya menjunjung titah Tuanku," itu reaksi ringkas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Hamizan Hassan berhubung pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.

Hamizan adalah antara sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang memboikot majlis istiadat pelantikan Menteri Besar Perlis di Istana Arau, di sini, Khamis lalu untuk bersama Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim di Kuala Lumpur.

Kenyataan ringkas Hamizan itu dibuat ketika ditanya pemberita di Dewan Residensi, kediaman rasmi Menteri Besar, di sini, tengah hari tadi.

Beliau berkata, kehadiran beliau di situ pada hari ini adalah sebagai memenuhi jemputan ke majlis taklimat persidangan UMNO dan perasmian berkelompok cawangan dan sayap UMNO Bahagian Kangar.

"Saya dijemput dan ini adalah tanggungjawab saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung krisis politik Perlis serta ketidakhadirannya di Istana Arau, Khamis lalu.

"Saya menjunjung titah Tuanku," jawabnya, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, kehadiran Hamizan di Dewan Residensi turut menjawab persoalan siapa dalam kalangan sembilan wakil rakyat BN Perlis yang berkecuali dari memfailkan laporan polis di Balai Polis Jalan Eusoff, Kuala Lumpur, semalam.

Ini berikutan laporan media menyebut lapan wakil rakyat BN yang diketuai Datuk Ismail Kassim membuat laporan polis terhadap Azlan yang memperkenalkan dirinya sebagai Menteri Besar.

Berdasarkan laporan yang dibuat, lapan wakil rakyat berkenaan membantah pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN Perlis untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Bagaimanapun, krisis pelantikan Menteri Besar tercetus apabila Shahidan mengumumkan BN bersetuju mencalonkan ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya, untuk menggantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Pada Khamis lalu, Azlan menjadi pemimpin negeri terakhir mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua, 14 hari selepas PRU-14 berlangsung.

Bagaimanapun, krisis itu berpanjangan apabila majlis istiadat angkat sumpah itu diboikot sembilan ADUN BN dari kem Shahidan.

Shahidan dan 9 ADUN terbabit mengadakan sidang media di Kuala Lumpur membantah pelantikan Azlan dan meminta supaya Istana Arau menerima keputusan majoriti ADUN BN untuk melantik Ismail.

Tindakan mereka menimbulkan kemurkaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang bertitah baginda enggan melantik Ismail kerana bimbang Menteri Besar Perlis menjadi boneka kepada pihak luar.

Beberapa jam selepas sidang media Shahidan, Ismail merafak sembah kepada Raja Perlis untuk melantik calon lain selain dirinya dan Azlan bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar.

ends

Berita Harian X