Sabtu, 26 Mei 2018 | 5:33pm

Buka puasa percuma

KUALA LUMPUR: Orang ramai dijemput menghadiri majlis berbuka puasa ala Dataran Masjid Nabawi di Madinah, selama tiga hari bermula 1 Jun depan di Dataran Karangkraf, Shah Alam.

Pengarah Urusan, Karangkraf/Sinar Harian, Hussamuddin Yaacub, berkata acara itu bertujuan untuk berkumpul dan berbuka puasa, dalam rasa kasih sesama insan.

"Bawa keluarga, saudara dan rakan untuk bersama berbuka santai dalam kemanisan persaudaraan sesama kita di bulan suci ini," katanya.

Kata Husamuddin, majlis Iftar Karangkraf/ Sinar Harian bercorak Rehlah di dataran terbuka itu menyediakan iftar percuma dan seramai 23,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang tiga hari acara itu berlangsung.

Dalam usaha memeriahkan acara itu, orang ramai turut dialu-alukan untuk membawa makanan tambahan.

"Kami memberi peluang kepada semua yang ingin bersama berinfak, terutamanya usahawan dalam industri makanan serta dermawan yang ingin sertai program, menyumbang untuk iftar ini apa saja yang sesuai seperti kurma, nasi bungkus, buah-buahan dan sebagainya," katanya.

Lokasi strategik itu turut menyediakan ruang solat selesa untuk solat Maghrib dan mengerjakan solat tarawih.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 019 3889 581 (Cha).

Berita Harian X