Isnin, 28 Mei 2018 | 4:49pm
NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menghadiri taklimat khas mengenai Industri 4.0 di Pusat Kemahiran Pembangunan Pulau Pinang (PSDC), Georgetown, hari ini. - Foto Mikail Ong

BTN disalahguna - Nurul Izzah

GEORGETOWN: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyokong cadangan memansuhkan Biro Tata Negara (BTN) yang disifatkan bukan medan sesuai untuk memupuk semangat patriotisme

Sambil menyifatkan peranan agensi berkenaan disalahguna, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, laporan dari universiti tempatan mengenai keberkesanan program anjuran BTN kebanyakannya hanya menunjukkan hasil negatif.

Beliau berkata, agensi lain seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga turut memainkan peranan sama seperti BTN.

"Berapa banyak agensi propaganda yang diperlukan negara? Saya faham keperluan untuk memupuk semangat patriotisme tetapi saya rasa BTN disalahgunakan.

"Jika keutamaan untuk memupuk hubungan harmoni antara masyarakat, saya cadangkan kita memulakannya dari sekolah," katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat khas mengenai Industri 4.0 di Pusat Kemahiran Pembangunan Pulau Pinang (PSDC), di sini, hari ini.

Nurul Izzah berkata, beliau akan menyerahkan kepada Kabinet untuk memutuskan sama ada ia perlu dimansuhkan atau sebaliknya.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya berjanji untuk menghapuskan BTN.

Baru-baru ini Ketua Pemuda PH merangkap Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyokong langkah memansuhkan agensi terbabit.

Habis

Berita Harian X