Isnin, 28 Mei 2018 | 6:04pm
ORANG ramai membeli barang keperluan bagi membuat persiapan awal menjelang Hari Raya Aidilfitri di sebuah pasar borong terkemuka di Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
ORANG ramai membeli barang keperluan bagi membuat persiapan awal menjelang Hari Raya Aidilfitri di sebuah pasar borong terkemuka di Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Selangor kaji caj 20 sen

KLANG: Kerajaan Selangor akan mengkaji semula kadar caj 20 sen bagi setiap pembelian beg plastik di pasar raya negeri itu yang diperkenalkan sejak Januari 2016.

Ia bertujuan mengetahui sama ada caj dikenakan mencapai matlamat dalam mengurangkan penggunaan beg plastik atau sebaliknya.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian, berkata pihaknya akan membuat keputusan selepas kajian terbabit.

"Kita dapati ramai penjaja dan pengusaha pasar raya tidak mengikut arahan kerana tiada penguatkuasaan.

"Ramai juga yang sanggup membeli beg plastik terutama pengguna berkemampuan, malah ada aduan mempersoalkan kadar caj itu sama ada mencapai sasaran atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Program Bazar Ramadan Mampan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Pusat Pemborong GM Klang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Loy Sian berkata, pihaknya tidak berhasrat menaikkan caj berkenaan tetapi mahu kempen kesedaran bebas plastik diterap di peringkat sekolah kerana didikan sejak kecil perlu bagi menjayakan usaha dijalankan.

"Sebelum ini, kita tidak dapat melaksanakan kempen ini di peringkat sekolah di Selangor.

"Sekarang kita mahu mendidik dari kecil supaya mereka sedar mengenai bahaya beg plastik kepada alam sekitar, selain bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan supaya program sedemikian dapat diatur," katanya.

Pada program berkenaan, MPK mengedarkan 1,000 beg kitar semula kepada peniaga dan pelanggan GM Klang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X