Isnin, 28 Mei 2018 | 6:46pm
MENTERI Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kiri) menjawab persoalan media selepas mendengar taklimat bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) di Menara 1 Sentrum, Bangsar. Turut sama Pengerusi Eksekutif MAVCOM Tan Sri Abdullah Ahmad (kanan). - Foto BERNAMA

MAVCOM diarah kaji harga tiket penerbangan musim perayaan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) diarah untuk mengkaji mekanisme pelaksanaan harga siling tiket penerbangan khusus semasa musim perayaan.

MAVCOM juga diarah untuk mempercepatkan kajian semula caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi penerbangan domestik, ASEAN dan antarabangsa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata itu antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan pimpinan MAVCOM di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini, hari ini.

Katanya, MAVCOM perlu meneliti isu harga tiket penerbangan yang tidak munasabah setiap kali musim perayaan kerana ia kerap dibangkitkan di Parlimen sebelum ini, khususnya bagi mereka yang mahu pulang ke Sabah dan Sarawak dari Semenanjung.

"Orang Sabah dan Sarawak sentiasa berdepan isu ini setiap kali musim perayaan, sama ada sambutan Hari Gawai, Keamatan, Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas, mereka kena bayar harga tiket yang tinggi.

"Harga tiket bagi penerbangan antara Semenanjung ke Sabah atau Sarawak boleh mencecah RM1,500 hingga RM2,000 bagi kelas ekonomi, iaitu lebih mahal daripada penerbangan dari Kuala Lumpur ke China, Hong Kong atau Korea Selatan.

"Pelaksanaan harga siling tidak akan mengganggu pasaran kerana ia hanya pada musim perayaan, selain wujud keperluan kerana tidak ada alternatif lain untuk ke Sabah dan Sarawak atau negeri itu ke Semenanjung, kapal pun tak ada dan mesti guna pengangkutan udara," katanya pada sidang media selepas bertemu pimpinan MAVCOM, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Tan Sri Abdullah Ahmad.

Siew Fook berkata, walaupun wujuk desakan untuk harga siling itu dilaksanakan segera menjelang Hari Raya Aidilfitri dua minggu lagi, ia tidak boleh dibuat serta merta kerana membabitkan implikasi pada syarikat dan industri penerbangan.

"Saya tahu, ramai harap pengumuman menjelang perayaan ini dan kalau ikut budi bicara menteri, saya nak buat segera tapi minta maaflah kerana perlu bertindak secara profesional dan dapatkan pandangn pihak berkaitan terlebih dahulu," katanya.

Mengenai PSC, katanya, MAVCOM dijadualkan mengumumkan kadar baharu pada 1 Januari 2020, namun beliau sudah mengarahkan kajian semula dilaksanakan secepat mungkin dan berharap kadar baharu diumumkan seawal tahun depan.

Katanya, ia susulan arahan penyeragaman kadar PSC di semua lapangan terbang seluruh negara bermula Januari lalu, dengan RM11 bagi penerbangan domestik, RM35 (ASEAN) dan RM73 (destinasi antarabangsa selain ASEAN).

"Lapangan terbang di Malaysia bukan semuanya sama taraf dan ada kemudahan seperti di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), jadi PAC perlu mengikut kemudahan di lapangan terbang," katanya.

Sementara itu, Siew Fook berkata, Parlimen akan memantau wang RM1 yang dikutip oleh MAVCOM daripada setiap penumpang yang berlepas, dengan hasil kutipan dianggarkan berjumlah RM35 juta setahun.

"Jumlah ini akan digunakan untuk membiayai kos operasi MAVCOM yang dianggarkan sebanyak RM25 juta, manakala lebihan akan dimasukkan dalam dana untuk latihan dan pembangunan industri penerbangan.

"MAVCOM perlu mengemukakan laporan tahunan, termasuk kewangan kepada Parlimen dan ia akan dibuat secara telus," katanya.

Berita Harian X