Sabtu, 2 Jun 2018 | 2:08pm

Siasatan 'fail merah' 1MDB komprehensif - Guan Eng

GEORGETOWN: Siasatan ke atas fail merah yang dikatakan mengandungi dokumen penyelewengan dan skandal membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang dijalankan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata semua dokumen dalam fail berkenaan kini sedang disiasat syarikat perakaunan dan audit dalaman yang dilantik bagi mengendalikan penyiasatan terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada had masa ditetapkan bagi keseluruhan proses siasatan fail merah terbabit, selain yakin ia dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Proses siasatan fail merah ini masih dijalankan dan terlalu awal untuk kita dapatkan maklum balas mengenainya. Kita perlu beri masa kepada syarikat perakaunan dan audit dalaman untuk jalankan siasatan lebih komprehensif.

"Saya juga yakin siasatan ini akan dimuktamadkan secepat mungkin, walaupun tiada had masa ditetapkan kepada pasukan penyiasatan fail merah ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Pembangunan dan Pemuliharaan George Town (GTCDC) dan Kerajaan Perancis di Bangunan UAB di sini, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng mendedahkan rahsia fail merah yang hanya boleh diakses pihak tertentu dan cuba disorokkan kerajaan terdahulu, terbongkar dan ia dikatakan mengandungi penyelewengan dan skandal membabitkan 1MDB.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut berterima kasih kepada pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang yang menyumbang 10 peratus daripada gaji barisan EXCO kerajaan negeri ke Tabung Harapan Malaysia (THM).

"Inisiatif ini juga diikut oleh beberapa negeri lain dan kita sangat terharu apabila pentadbiran kerajaan negeri menyokong usaha murni untuk memulihkan kedudukan ekonomi negara yang terbeban dengan jumlah hutang mencecah RM1 trillion.

"Bagaimanapun, tiada jangka masa ditetapkan bagi kutipan derma melalui THM ini tetapi pentadbiran Kerajaan Persekutuan tahu bila waktu sesuai untuk memaklumkan tarikh akhir inisiatif ini," katanya.

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Pembangunan dan Pemuliharaan George Town (GTCDC) dan Kerajaan Perancis di Bangunan UAB, Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad
Berita Harian X