Isnin, 4 Jun 2018 | 1:11pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan lawatan rasmi di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

KDN tubuh jawatankuasa urus masalah kerakyatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengurus penduduk Malaysia yang berhadapan masalah kerakyatan, kata Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan ditubuhkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) diadakan dan ia akan dipengerusikan sendiri oleh

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami sedang mengumpul maklumat mengenai isu berkenaan supaya kita dapat menguruskannya di peringkat kami dahulu (Jabatan Pendaftaran Negara, JPN).

"Kemudian kami akan menyediakan laporan penuh berkaitan isu ini," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan rasmi di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan kebimbangan Lawyers for Liberty mengenai dasar diskriminasi JPN terhadap penduduk Malaysia yang tidak mempunyai kerakyatan, amalan yang berlarutan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Pengarah Eksekutifnya, Eric Paulsen dalam satu kenyataan berkata, kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) nampaknya tidak mengakui betapa seriusnya masalah penduduk tanpa kerakyatan dan hanya tertumpu kepada masalah itu yang melibatkan masyarakat India seperti dinyatakan dalam Janji 1 Komitmen Khas untuk Masyarakat India.

Berita Harian X