Khamis, 7 Jun 2018 | 4:43pm
WARGA Bangladesh yang bekerja sebagai buruh. - Foto Yazit Razali

Hanya 648 pekerja Bangladesh masuk sebelum PRU-14

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan hanya 648 pekerja asing warga Bangladesh yang diluluskan kebenaran memasuki negara ini pada 7 dan 8 Mei lalu iaitu satu dan dua hari menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

KDN dalam kenyataan berkata, semakan rekod kemasukan itu, sekali gus menafikan dakwaan bahawa 80,000 pekerja Bangladesh dibawa masuk menjelang PRU-14.

"KDN dimaklumkan mengenai satu dakwaan di media sosial mengenai kelulusan membawa masuk pekerja asing Bangladesh ke Malaysia seramai 80,000 orang dalam tempoh tiga hari sebelum PRU-14.

"Berdasarkan semakan rekod KDN, hanya sejumlah 648 pekerja asing Bangladesh sudah diluluskan pada 7 dan 8 Mei lalu, sekali gus menafikan dakwaan 80,000 kuota pekerja asing berkenaan," kata KDN dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pengambilan pekerja asing dibenarkan dari 15 negara sumber dan pemilihan negara sumber pekerja asing adalah bergantung kepada keperluan majikan sendiri.

Katanya, kerajaan tetap komited untuk menyediakan peluang pekerjaan dan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan.

"Bagaimanapun, sekiranya majikan gagal untuk mendapatkan pekerja tempatan, kerajaan akan mempertimbangkan permohonan penggajian pekerja asing bagi sektor yang dibenarkan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

"Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan sebarang penyalahgunaan berkaitan sistem kemasukan pekerja asing ke negara ini," katanya.

Berita Harian X