X
Sabtu, 9 Jun 2018 | 4:37pm
PRESIDEN Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar. - Foto Roslin Mat Tahir
PRESIDEN Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar. - Foto Roslin Mat Tahir

Tiada pengecualian isytihar harta, elak berat sebelah

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan memerangi rasuah dalam kalangan pegawai tertinggi sehingga ke peringkat bawahan disambut baik badan pemerhati rasuah, namun dasar itu harus dilaksanakan secara holistik tanpa berat sebelah.

Justeru, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, berkata adalah lebih baik jika semua pemimpin dan pegawai tertinggi kerajaan turut mengisytihar harta mereka.

Beliau mengesyorkan, ia termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, EXCO, pegawai kanan kerajaan, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara perlu mengisytihar harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini peringkat pertama untuk pelan jangka pendek dan mesti dilakukan oleh mereka paling elok pada hari pertama dapat jawatan.

"Selepas itu, mereka perlu isytihar harta setahun atau dua tahun sekali dan sebelum (mereka) lepaskan jawatan juga perlu isytihar sekali lagi.

"Sekarang, isunya sama ada mereka mahu isytihar atau tidak, atau bimbang dirompak? Saya rasa (fikiran) itu tidak cerdik kerana sepuluh orang terkaya pun setiap tahun isytihar harta tetapi tidak jadi apa pun (kena rompak)," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu semua anggota pentadbiran termasuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik mengisytihar harta masing-masing.

Mengulas mengapa perlu isytihar kepada SPRM, beliau berkata, ini kerana pihak berkuasa itu memiliki kepakaran menyiasat jika berlaku penyelewengan ke atas laporan pengisytiharan harta.

"SPRM ada kepakaran dalam perakaunan forensik. Kedua, SPRM adalan badan neutral. Ketiga, SPRM ada kuasa untuk siasat dan semak semula jika laporan (pengisytiharan harta) adalah palsu.

"Kita beri (laporan) kepada SPRM terlebih dulu. Tetapi mereka kena berlaku adil tanpa rasa takut. Perdana Menteri pun kena buka fail siasatan... kalau betul tidak apa, kalau tidak betul, kenalah siasat.

"Jadi, jangan takut untuk isytihar harta. Jika kita nak bekerja untuk rakyat... buat apa kita nak takut? Kita cuma tidak mahu berlaku penyelewengan, salah guna kuasa dan aku janji supaya rakyat akan hormat kita," katanya.

Semalam, Dr Mahathir turut mengumumkan kerajaan akan mengamalkan dasar tanpa hadiah kepada anggota perkhidmatan awam sebagai usaha menangani rasuah dan ketirisan.

Katanya, hanya bunga, makanan, buah dan tidak lebih daripada itu boleh diterima sebagai hadiah.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tunku Aziz tidak bersetuju dengan langkah itu sambil menegaskan tidak boleh terima langsung sebarang hadiah dalam apa bentuk sekalipun.

"Kalau kita mahu buat polisi begitu, biar kita buat satu polisi yang kita terus tidak boleh terima langsung (hadiah). Jadi, kalau kita kata ini boleh dan itu tidak boleh... sama jugalah.

"Kalau mahu buat polisi, ia mesti jelas. Jangan beri peluang sebarang keraguan berlaku," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X