Ahad, 10 Jun 2018 | 6:09pm
PENGANALISIS politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
PENGANALISIS politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Tujuh daripada 10 janji manifesto sudah digerakkan

KUALA LUMPUR: Hari ini genap sebulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menjanjikan 10 janji dalam tempoh 100 hari.

Secara keseluruhannya, tujuh daripada janji itu sedang digerakkan untuk dilaksanakan manakala tiga janji masih tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

Berbaki 70 hari lagi, rakyat pastinya akan menilai janji berkenaan walaupun selepas 20 hari iaitu pada 31 Mei lalu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan lima inisiatif yang terkandung dalam manifesto pilihan raya '10 janji dalam tempoh 100 hari' sehingga keadaan kewangan negara pulih.

Ini termasuklah subsidi petrol bagi kereta di bawah 1,300cc dan motosikal di bawah 125cc, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah dan menyama rata gaji minimum.

Turut ditangguhkan adalah janji penangguhan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bagi lepasan ijazah yang berpendapatan kurang RM4,000 dan pengembangan Skim Peduli Sihat di seluruh negara, yang menawarkan rawatan asas bernilai RM500 di klinik swasta berdaftar bagi isi rumah pendapatan terendah 40 peratus (B40).

Bagaimanapun, dalam tempoh sebulan ini, kerajaan sudah pun mengeluarkan nama yang disenarai hitam ke luar negara bagi peminjam PTPTN.

Sehingga 4 Jun lalu, Jabatan Imigresen telah mengeluarkan sebanyak 265,149 nama daripada 433,708 peminjam yang disenarai hitam. Baki nama daripada jumlah peminjam berkenaan dijangka dikeluarkan dari sistem senarai hitam pada Jumaat ini.

Janji utama memansuhkan GST juga sudah diambil dengan memperkenalkan GST pada kadar sifar bermula 1 Jun lalu dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula berkuat kuasa pada 1 September ini.

Usaha menyamaratakan gaji minimum mula digerakkan dengan Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara (JTPGN) menjalankan kajian sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) berhubung perkara itu.

Kerajaan juga sedang melaksanakan janji untuk menyiasat institusi yang terpalit dalam skandal terutama 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kerajaan juga mengkaji semula projek mega termasuk yang diberikan kepada negara asing seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Tren Aliran Transit Massa 3 (MRT3) berikutan kekangan perbelanjaan kerajaan.

Tiga janji yang masih belum ada kemajuan iaitu penghapusan hutang tidak wajar yang dipaksakan ke atas peneroka FELDA; janji kesembilan - penubuhan pasukan beasih tidak menunjukkan sebarang kemajuan setakat ini iaitu janji ketujuh penghapusan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.

Kajian semula memulangkan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Malaysia 1963 juga belum bermula dan janji ke-10 - meningkatkan akses, kualiti perkhidmatan kesihatan dengan memperkenalkan skim kesihatan baru belum dimulakan.

Mengulas pencapaian kerajaan selama sebulan itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kerajaan mengambil masa lebih 100 hari untuk menunaikan janji 10 utamanya kerana situasi ekonomi tidak mengizinkan mereka melaksanakan seperti yang dijanjikan.

Katanya, janji yang dibuat kerajaan sebelum menang pilihan raya mengambil kira situasi semasa yang mana mereka tidak mengetahui nilai sebenar kedudukan ekonomi negara.

"Apabila mengetahui keadaaan ekonomi sebenar dan kerosakan yang dialami negara lebih besar daripada yang disangkakan, kerajaan terpaksa mengambil langkah berjimat cermat dan menubuhkan Tabung Harapan Rakyat, melakukan pembetulan dan pemulihan yang lebih banyak kerja perlu dilaksanakan,

"Ia menjadi tidak mudah untuk diselesaikan dalam waktu yang terdekat dan memerlukan masa. Kerajaan perlu mendedahkan status ekonomi dan memberikan pencerahan kepada rakyat supaya apa yang dijanjikan iaitu kehidupan lebih baik akan dapat dilaksanakan dalam apa juga situasi ekonomi semasa," katanya.

Beliau berkata, secara umumnya, beliau nampak ada usaha dilakukan kerajaan tetapi ia memerlukan sedikit masa dan setakat ini tiada kenyataan atau keputusan yang pelik yang mengelirukan rakyat.

Berita Harian X