Selasa, 12 Jun 2018 | 11:05pm
BEN Templer (tengah) dan rakannya Erica ketika lawatan di Carcosa Seri Negara.
BEN Templer (tengah) dan rakannya Erica ketika lawatan di Carcosa Seri Negara.

Waris Gerald Templer kunjungi Carcosa Seri Negara

KUALA LUMPUR: Carcosa Seri Negara menerima kunjungan hormat waris Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Gerald Templer, bagi menjejaki sejarah penjajahan British di Tanah Melayu.

Ketua Pegawai Eksekutif Asian Heritage Museum (AHM), K K Tan, berkata cucu kepada Templer iaitu Ben Templer, membuat kunjungan secara mengejut di sini.

Katanya, selepas beliau memperkenalkan diri, pihaknya membawa Templer di sekitar Carcosa Seri Negara dan menghabiskan masa seharian mengimbau sejarah tempat itu.

"Templer hadir bersama seorang teman, Erica, dan kedua-duanya adalah seorang doktor di London.

"Mereka melawat bilik dan lokasi yang pernah didiami mendiang datuk mereka suatu ketika dulu," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, sebentar tadi.

Gerald Templer adalah seorang panglima tentera British yang berkhidmat dalam Perang Dunia Kedua.

Beliau dikenali kerana berjaya mematahkan pergerakan pemberontakan gerila komunis di Malaya antara tahun 1952 dan 1954.

Sementara itu, menerusi maklum balas Templer menerusi e-mel terhadap Carcosa Seri Negara, beliau menyatakan penghargaan terhadap kunjungan mereka pada 10 Jun lalu.

"Saya menghargai dan berterima kasih terhadap pihakCarcosa Seri Negara kerana sudi meluangkan masa untuk bersama kami.

"Juadah hidangan berbuka puasa juga cukup enak dan sangat seronok dan berpuas hati," katanya.

Berita Harian X