Rabu, 13 Jun 2018 | 6:14pm
KEADAAN aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari arah Juru ke Sungai Dua, semakin sibuk menjelang lewat petang berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dijangka pada 15 Jun ini, ketika tinjauan di Seberang Jaya, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

Trafik bergerak perlahan setakat 5 petang - PLUS

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama setakat pukul 5 petang hari ini perlahan berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang Hari Raya yang dijangka disambut Jumaat ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi Bernama berkata, trafik perlahan di utara dari Bukit Merah menuju Alor Pongsu, Bandar Baharu ke Jawi dan Plaza Tol Juru menuju ke Permatang Pauh sehingga Bertam.

Menurutnya, trafik turut perlahan dari Rawang Selatan ke Sungai Buaya, Jalan Duta ke Bukit Lanjan, Senai ke Kulai selain berlaku pertambahan jumlah kenderaan di Bangunan Sultan Iskandar, Johor di kedua-dua arah.

Sementara itu, menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) laluan di Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 masih terkawal selain trafik hanya dilaporkan perlahan dari Genting Sempah menuju ke Lentang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di talian 1800-88-7752 atau merujuk laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Berita Harian X