Jumaat, 15 Jun 2018 | 10:02pm
MISATO (baju putih) beramah mesra dan berkongsi pandangan bersama pelajar MJHEP kendalian JUCTe.
ANTARA pelajar MJHEP yang menyertai sambutan Aidilfitri di Tokyo, hari ini.

Pelajar Malaysia meriahkan Aidilfitri di Jepun

TOKYO: Sambutan Aidilfitri di Jepun hari ini meriah dengan penyertaan pelajar Pendidikan Tinggi Malaysia Jepun (MJHEP) pada majlis rumah terbuka di sini.

Hampir 60 pelajar Tahun Akhir Ijazah Kejuruteraan dan sarjana dari pelbagai universiti sekitar Jepun termasuk dari Kyoto berkumpul menyambut lebaran bersama-sama termasuk rakan universiti dari negara lain.

Lebih menarik sambutan rumah terbuka anjuran Presiden Persatuan MJHEP, Amir Fakhry Zulkhibri, itu turut dihadiri wakil dari Japan Universities Consortium of Transnational Education (JUCte), Misato Takahashi.

Jucte adalah organisasi bukan berasas keuntungan yang mengendalikan hal ehwal dan kebajikan pelajar MJHEP tajaan Yayasan Pelajaran MARA di Jepun sejak 2007.

Misato berkata, program sedemikian amat baik bukan saja kepada pelajar malah untuk JUCte mengenali adat resam dan budaya Melayu di Malaysia.

Beliau berkata amalan rumah terbuka amat asing kepada budaya masyarakat Jepun dan beliau kagum dengan amalan sedemikian yang muhibah.

"Saya tidak menyangka ramai pelajar kendalian Jucte turut hadir dan amat bertuah dijemput sekali gus membantu saya mengenali mereka dan keluarga yang hadir dengan lebih dekat.

"Apa yang menarik, ada juga pelajar yang datang dari jauh untuk menyambut Hari Raya bersama rakan mereka.

"Ia membantu memudahkan kami mendapat maklumat terus mengenai sebarang masalah yang dihadapi," katanya.

Pada majlis sambutan secara sederhana itu, pelajar disajikan dengan hidangan tradisi seperti ketupat, lemang, rendang daging, lontong dan nasi lemak.

Bagi Amir Fakhry pula, majlis itu sedikit sebanyak mengubat kerinduan kepada keluarga tercinta di kampung halaman.

Beliau berharap majlis kali kedua itu diharap dapat mengeratkan hubungan antara mereka yang terpisah jauh di 24 universiti seluruh Jepun.

Berita Harian X