Jumaat, 22 Jun 2018 | 12:12pm
KETUA Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjawab soalan media selepas mengadakan pertemuan dengan MPK di Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kos bina MRT 2 akan dikurangkan

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Bhd (MRT Corp) kini sedang mencari jalan untuk mengurangkan kos pembinaan MRT 2.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata ia susulan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) untuk kali kedua hari ini.

"Kami berbincang mengenai kaedah untuk mengurangkan kos pembinaan MRT 2. Ini adalah inti pati utama pertemuan hari ini dan kami yakin mampu melakukannya, sekali gus dapat menjimatkan lagi wang rakyat.

"Bagi MRT 3, ia telah dibatalkan buat masa ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan MPK, di sini sebentar tadi.

Awal bulan ini, Shahril selepas mengadakan pertemuan dengan MPK buat kali pertama berkata pihaknya tidak membantah keputusan kerajaan mahu membatalkan projek MRT 3, namun berpendapat ia tetap perlu diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, pihaknya mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan untuk menghentikan projek berkenaan, tetapi mengakui MRT Laluan 3 itu adalah kritikal bagi melengkapkan semua jajaran.

"Bagaimanapun kita berharap satu hari nanti selepas kedudukan fiskal kerajaan bertambah lebih baik, kerajaan akan menimbangkan untuk meneruskan semula projek ini.

"Keputusan kerajaan untuk membatalkan projek ini pada masa ini bukanlah satu kesilapan, tetapi ia tetap perlu dilakukan pada masa depan," katanya.

MRT 2 yang mula dibina pada September 2016 dijangka siap pada Julai 2022 dan bakal memiliki 35 stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah, dengan laluan sepanjang 52.2 kilometer (km).

Sehingga April lalu, projek itu sudah mencapai tahap kemajuan pembinaan sehingga 24 peratus dan berjalan mengikut jadual.

Kos pembinaan MRT yang menghubungkan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya ini dianggar bernilai RM32 bilion dengan fokus utama pembinaan tertumpu kepada kerja pengorekan terowong yang lebih rumit dan mencabar, berbanding laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Ia turut merangkumi pembinaan stesen yang antaranya berada sehingga 44 meter di bawah tanah.

Berita Harian X