Jumaat, 22 Jun 2018 | 7:40pm
M Kulasegaran. - Foto BERNAMA

Hanya tukang masak tempatan mulai 2019

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia mahu semua restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di premis masing-masing mulai 1 Julai ini.

Bagaimanapun, Menterinya, M Kulasegaran berkata, semua pengusaha akan diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan sahaja bekerja di restoran mereka dan peraturan baharu itu akan dikuatkuasa mulai 1 Januari 2019.

"Kami mahukan orang tempatan diambil bekerja sebagai tukang masak. Tiada tolak ansur...kami beri masa hingga 31 Disember ini untuk berbuat demikian. Jika gagal, kami tidak dapat bantu lagi," katanya ketika ditemui Bernama News Channel di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan anggota Persatuan Pengusaha Restoran India (PRISMA) di Petaling Jaya.

Katanya kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan PRISMA serta Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (PRESMA) dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan syarat tukang masak tempatan di restoran.

Kulasegaran berkata langkah itu dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.

Beliau berkata tindakan kementeriannya itu selari dengan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang, yang melarang warga asing menjadi tukang masak di kedai makan, restoran dan juga gerai sekitar pulau itu sejak 2014 dalam usaha memelihara warisan makanan negara.

Mengulas kenyataan Kulasegaran itu, Presiden PRISMA, P Muthusamy berkata keputusan itu agak mengejutkan dan bakal memberi implikasi besar kepada pengusaha.

"Sejak beberapa tahun lalu, kita menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja, malah lebih 500 restoran ditutup sejak beberapa tahun lalu kerana kekurangan pekerja," katanya.

Muthusamy berharap kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha kedai makanan di seluruh negara sebelum melaksanakan keputusan itu.

Presiden PRESMA, Ayub Khan pula berkata masalah pekerja di restoran semakin ketara kerana tidak ada pekerja tempatan yang mahu bekerja di restoran.

"Kami buat iklan, sanggup bayar gaji hingga RM2,500 pun orang tak nak datang (bekerja). Bukan senang (mahu) cari orang tempatan bekerja di restoran," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X