Ahad, 24 Jun 2018 | 7:35pm
DR Zainah (bertudung hitam) dan wakil IYRES menemubual lima orang alumni MJHEP (kiri) bagi mendapat input pelaksanaan program MJHEP di Tokyo, hari ini.

Kajian keberkesanan, impak MJHEP giat dilaksana

TOKYO: Kajian terperinci keberkesanan dan impak Program Pendidikan Tinggi Malaysia Jepun (MJHEP) yang mendapat pengiktirafan kerajaan Jepun kini sedang giat dilaksana.

Program MJHEP ini yang dikendali Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menerusi inisiatif Dasar Pandang ke Timur sejak 1993, dijangka berakhir pada 2020.

Kaji selidik dilaksana Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan sejak Mac lalu membabitkan responden di Malaysia dan Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr Zainah Shariff berkata hasil dapatan kerja lapangan penilaian membabitkan wakil pelajar, ibu bapa, alumni, pengurusan dan pentadbiran yayasan, syarikat, universiti dan Kedutaan Malaysia di Jepun akan dijadikan panduan untuk kesinambungan program MJHEP akan datang.


WAKIL Alumni bersama keluarga bergambar bersama Dr Zainah (berdiri dua dari kanan) selepas menjalankan kaji selidik terhadap program MJHEP di Tokyo, hari ini.

Beliau berkata kajian pertama kali dilaksana sejak program berkenaan dikenali dengan nama Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi atau Higher Education Loan Fund Project (HELP) itu mengambil masa lima bulan dan dijangka siap bulan depan.

"Hasil dapatan kajian IYRES akan dijadikan rujukan untuk kesinambungan program MJHEP membabitkan pelajar peringkat ijazah, sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dengan pelajar terakhir yang mengikuti program ini dijangka tamat pengajian pada 2022.

"Kajian mencakupi pelbagai aspek termasuk kebajikan pelajar yang mengikuti program selama tiga tahun di kampus MARA-Japan Industrial Institute (MJII) Beranang, Selangor dan dua tahun di 24 universiti terpilih Jepun," katanya selepas menjalankan kaji selidik terhadap lima wakil alumni dan keluarga di sini, hari ini.

Wakil terbabit diketuai Felow Penyelidik dari Universiti Tokai, Dr Abdul Aziz Ibrahim. Dr Zainah bersama dua lagi wakil IYRES dalam rangka lawatan kaji selidik selama seminggu di Jepun mulai semalam.

Mengulas lanjut, Dr Zainah berkata, pertemuan terus dengan wakil terbabit memberi input jelas kepada mereka dalam membuat laporan lengkap tahap keberkesanan, keperluan dan impak program kepada pelajar dan sumbangan kepada pembangunan industri dan ekonomi negara.

"Sama ada program ini yang banyak melahirkan ribuan jurutera berkemahiran tinggi diteruskan, ditambahbaik atau sebaliknya bergantung kepada kerajaan dan yayasan untuk membuat keputusan," katanya.

Berita Harian X