Isnin, 25 Jun 2018 | 10:28pm
FARAH Marshita Abdul Patah (lima dari kiri) bergambar bersama barisan kepimpinan baharu NUJ NSTP selepas Mesyuarat Dwi Tahunan NUJ NSTP di Balai Berita NSTP. - Foto Sairien Nafis

NUJ NSTP mahu ubah persepsi negatif

KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan baharu Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) New Straits Times Press (NSTP) menolak persepsi bahawa kesatuan itu hanya berunsurkan negatif berbanding memberi kebaikan kepada semua pihak.

Pengerusinya, Farah Marshita Abdul Patah, berkata NUJ boleh dianggap sebagai jambatan yang menghubungkan antara ahlinya dan pihak pengurusan.

Katanya, tanggapan negatif yang mengaitkan NUJ sebagai 'kaki gaduh' adalah tidak tepat kerana semua tindakan dilakukan adalah untuk kepentingan kedua-dua pihak terbabit.

"Kita hanya mahu suara ahli didengar oleh pihak pengurusan supaya tidak timbul rasa ketidakpuasan hati kepada syarikat.

"Malah, kepimpinan baharu kali ini juga ingin memastikan kebajikan ahli menjadi agenda utama agar masing-masing dapat bekerja di bawah satu bumbung dengan baik," katanya pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan, di sini, hari ini.

Terdahulu NUJ NSTP mengumumkan pemilihan barisan kepimpinan baharu 2018 diketuai oleh Farah Marshita Abdul Patah sebagai Pengerusi, manakala Lidiana Rosli menyandang jawatan Timbalan Pengerusi, serta ahli jawatankuasa yang lain.

Farah Marshita berkata, sebarang permasalahan dan kemusykilan boleh ketengahkan kepada pihak NUJ selaku penghubung kepada suara ahli agar semua masalah dapat diatasi.

"Teraju utama kali ini diharap dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada ahlinya dan kerjasama juga dapat diberikan oleh pihak pengurusan.

"Ini adalah untuk memastikan suasana positif dapat diberikan untuk memberi output terbaik kepada syarikat," katanya.

Berita Harian X