Selasa, 26 Jun 2018 | 3:13pm
AHLI parlimen yang baru dilantik ketika mendengar penerangan pada sesi Majlis Taklimat Ahli-ahli Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Sairien Nafis

Parlimen Ke-14 paling ramai ahli Dewan Rakyat baharu

KUALA LUMPUR: Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 yang akan bermula 16 Julai depan, mencatat sejarah negara apabila menyaksikan paling ramai muka baharu mengangkat sumpah.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, berkata seramai 90 Ahli Parlimen yang kali pertama memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal mengangkat sumpah pada persidangan kali ini.

Beliau berkata, seramai 11 Ahli Parlimen yang kembali ke Dewan Rakyat dan 121 Ahli Parlimen pada persidangan ke-13, akan turut mengangkat sumpah.

"Persidangan kali ini menyaksikan campuran Ahli Parlimen berpengalaman dengan mereka yang kali pertama menjadi ahli Dewan Rakyat.

"Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menjadi ahli Dewan Rakyat termuda yang mana beliau masih seorang pelajar," katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-14, di sini, hari ini.

Roosme berkata, persidangan pertama Dewan Rakyat pada 16 Julai depan akan bermula dengan majlis pemasyhuran Speaker, diikuti majlis mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen.

Katanya, selepas itu beliau akan menerima usul pelantikan dua Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V akan berangkat merasmikan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 pada 17 Julai depan.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Roosme berkata, beliau belum menerima usul berhubung perkara itu.

Mengikut peraturan mesyuarat Parlimen, katanya, usul mengenai pencalonan bagi pelantikan Speaker Dewan Rakyat perlu dikemukakan selewat-lewat 14 hari sebelum persidangan bermula.

Sementara itu, mengenai majlis taklimat hari ini pula, beliau berkata, ia memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai perjalanan persidangan mesyuarat.

"Ini kerana ada ramai Ahli Parlimen baharu yang kali pertama menghadiri persidangan Dewan Rakyat," katanya.

Katanya, beliau turut menerangkan cara untuk Ahli Parlimen mengemukakan usul dan peraturan mesyuarat yang berkaitan.

Berita Harian X