Selasa, 26 Jun 2018 | 5:31pm
RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (kanan) beramah mesra dengan peserta program selepas berkenan merasmikan Persidangan Antarabangsa Bahasa untuk Tujuan Khusus (LSP) ke-11 dan Persidangan Kemajuan Global dalam Komunikasi Perniagaan ke-10, di Le Grandeur Palm Resort Johor, Senai, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini
RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (duduk, tengah) bergambar sebelum berangkat untuk merasmikan '11th Language For Specific Purposes Conference' dan '10th Global Advance Business Communication Conference 2018' di Le Grandeur Palm Resort, Senai, hari ini. - Foto BERNAMA

Graduan perlu dilengkapi kemahiran seiring era digital

JOHOR BAHRU: Malaysia terus komited dalam memastikan graduan dilengkapi pengetahuan dan kemahiran seiring era digital dan revolusi industri 4.0.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah Malaysia sudah mengambil langkah bagi membuat perubahan dalam sistem pendidikan negara selaras pembelajaran abad ke-21.

Titah baginda, ia secara am diterima sebagai campuran pengetahuan dan kemahiran yang berbeza untuk berjaya dalam pekerjaan dan kehidupan.

"Dalam era digital ini, dengan penggunaan alat komunikasi yang canggih untuk berkomunikasi secara berkesan, ia membabitkan penyampaian dan penerimaan mesej secara peribadi menerusi telefon bimbit, e-mel dan media sosial.

"Sesiapa sahaja, terutama mereka yang mencari pekerjaan dan yang memiliki kemahiran komunikasi yang baik akan berpeluang mendapatkan pekerjaan.

"Selain mendapat sambutan yang lebih positif daripada majikan, mereka pastinya berharap untuk mempunyai kerjaya yang berkekalan dan mencapai kejayaan yang lebih besar," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Bahasa untuk Tujuan Khusus (LSP) Ke-11 dan Persidangan Kemajuan Global dalam Komunikasi Perniagaan ke-10, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Seramai 130 ahli akademik, penyelidik, usahawan dan pendidik menghadiri persidangan itu yang menjadi landasan peserta berkongsi pengalaman dan pandangan, sekali gus menyemarakkan kerjasama industri dengan institusi akademik.

Raja Zarith Sofiah bertitah, bertepatan dengan tema persidangan iaitu `Memperkasa Bakat Pada Masa Hadapan Menerusi Bahasa dan Komunikasi', ia secara tidak langsung menjadi platform bagi membincangkan isu, cabaran dan idea inovatif dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa serta yang berkait dengan komunikasi perniagaan.

Titah baginda, pelbagai bentuk komunikasi walaupun baik untuk dimanfaatkan di pelbagai sosial media seperti Facebook dan Twitter, sebahagiannya juga penting dalam meningkatkan kemahiran interpersonal.

"Jika kita ingin berkembang maju dalam dunia digital dan yang saling berkait ini, kita harus belajar untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi.

"Institusi seperti UTM perlu dimanfaat potensinya menerusi bidang teknologi dalam pengajaran. Ada keperluan bagi mengintegrasikan teknologi, sekali gus menyokong pengajaran dan pembelajaran selaras kehendak pendidikan abad ke-21," titah baginda.

Berita Harian X