Selasa, 26 Jun 2018 | 5:46pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Dasar bantu Melayu, Bumiputera diteruskan

PUTRAJAYA: Malaysia akan terus mengekalkan dasar untuk membantu orang Melayu sebagai usaha menangani konflik dengan bangsa lebih kaya seperti Cina, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri ketika menjelaskan pendirian itu berkata, masih wujud ruang dalam beberapa aspek di negara ini yang memerlukan pelaksanaan dasar 'affirmative action' atau tindakan pengukuhan.

"Kita sudah merapatkan jurang ketidaksaksamaan antara Melayu dan Cina, namun ada segelintir aspek yang kerajaan masih perlu berikan 'suntikan' kepada masyarakat Melayu," katanya dalam temu bual bersama Channel News Asia (CNA), semalam.

Mengukuhkan pendirian kerajaan untuk meneruskan dasar berkenaan, Dr Mahathir memberi contoh pertemuannya dengan penuntut berbangsa Cina yang berpeluang melanjutkan pelajaran di luar negara kerana dibiayai ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa berbangsa Melayu kebanyakannya tidak mempunyai kekuatan aspek kewangan untuk membiayai anak di institut pengajian tinggi di luar negara.

"Oleh itu, lebih banyak biasiswa perlu diberikan kepada orang Melayu, memandangkan majoriti masyarakat Cina terbabit dalam dunia perniagaan, justeru mereka boleh 'buat banyak duit'.

"Sebaliknya majoriti Melayu adalah golongan 'makan gaji' sehingga tidak mampu untuk menghantar anak di universiti kerana memerlukan kos yang sangat tinggi," katanya.

Masyarakat Melayu dan komuniti pribumi yang juga dikenali sebagai golongan Bumiputera mewakili hingga 70 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia, manakala orang Cina adalah 23 peratus, India (tujuh peratus) dan lain-lain, satu peratus.

Dasar pengukuhan dalam kalangan Melayu wujud sejak penjajahan British, namun dijadikan sebagai langkah rasmi menerusi Dasar Ekonomi Baharu pada 1971 yang dilancarkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika menyandang jawatan Perdana Menteri Ketiga.

Sorotan sejarah menyaksikan Dr Mahathir adalah antara pemimpin utama yang lantang memperjuangkan dasar untuk membantu golongan Melayu sepanjang 22 tahun menerajui tampuk pemerintahan negara, selain mengangkat kepentingan mengekalkan hak keistimewaan Melayu menerusi parti lamanya, iaitu UMNO.

Dr Mahathir kemudian mengambil keputusan nekad untuk keluar daripada parti keramat orang Melayu itu pada 2016 dan menyertai Pakatan Harapan (PH), susulan perselisihan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Pergerakan politik baharu diterajui Dr Mahathir, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut memperjuangkan kepentingan Bumiputera, namun parti komponen PH menampilkan demografi berbeza apabila ia tidak berasaskan kaum.

Dr Mahathir bagaimanapun menerima penghargaan kerana membantu mengekalkan undian masyarakat Melayu yang perlu dimenangi PH, malah menyaksikan pakatan berkenaan menyuarakan janji menjelang hari pengundian untuk terus melindungi hak istimewa Melayu seperti digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri menegaskan, keputusan untuk terus mengekalkan dasar pengukuhan bagi membantu orang Melayu tidak bermaksud kerajaan sedia ada hanya memikirkan soal kebajikan bangsa berkenaan.

"Ketidaksaksamaan dalam mana-mana kelompok masyarakat adalah tidak bagus, walaupun ia hanya membabitkan satu etnik (kelompok). Anda mempunyai golongan mewah, kaya, miskin dan papa... ia mengundang konflik.

"Bagaimanapun, apabila yang kaya dan miskin, masing-masing adalah bangsa berlainan, potensi konflik itu semakin besar. Oleh itu, ada keperluan supaya perkara ini diselesaikan.

"Kita tidak boleh tukar Melayu jadi Cina atau sebaliknya, tetapi kita boleh ubah keadaan ekonomi mereka apabila golongan Melayu dibantu menerusi dasar pengukuhan ini," katanya.

Berita Harian X