Rabu, 27 Jun 2018 | 8:00am
PENGERUSI PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengadakan sidang media mengenai senarai hitam Imigresen dan penangguhan bayaran balik oleh peminjam PTPTN di Menara PTPTN, Megan Avenue II, Jln Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PENGERUSI PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengadakan sidang media mengenai senarai hitam Imigresen dan penangguhan bayaran balik oleh peminjam PTPTN di Menara PTPTN, Megan Avenue II, Jln Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

429,945 peminjam PTPTN bebas senarai hitam

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengesahkan 429,945 peminjam kini bebas dari disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan boleh ke luar negara sejak awal Jun lalu.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata proses menyenarai putih itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 24 Mei hingga 8 jun lalu, membolehkan 1.8 juta peminjam PTPTN yang sepatutnya membuat bayaran balik, layak ke luar negara, memperbaharui pasport dan membuat pasport baharu tanpa sekatan Imigresen.

Elak rekod CCRIS

Katanya, walaupun senarai hitam Imigresen dimansuhkan, peminjam PTPTN dinasihatkan terus menanam budaya membayar balik pinjaman bagi menjamin kelangsungan untuk menyalurkan pembiayaan kepada generasi akan datang.

"Peminjam juga digalakkan untuk terus membuat pembayaran berterusan dan konsisten walaupun gaji belum mencecah RM4,000 bagi mengelakkan rekod buruk dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

"Ini kerana peminjam yang membuat pembayaran balik dengan baik dan konsisten, laporan CCRIS membantu mereka dalam memohon kelulusan sebarang pinjaman termasuk perumahan, peribadi dan kenderaan," katanya di Menara PTPTN di sini, semalam.

Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan isu semasa berkenaan bayaran balik pinjaman PTPTN sebagaimana terkandung dalam manifesto kerajaan untuk meringankan beban hidup yang ditanggung anak muda.

Pada majlis itu, turut diumumkan perlantikan Wan Saiful sebagai Pengerusi PTPTN yang baharu menggantikan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkuatkuasa 18 Jun lalu.

Laksana selepas kajian

Mengenai status peminjam PTPTN yang tersenarai dalam CCRIS secara automatik walaupun pendapatan di bawah RM4,000, kata Wan Saiful penyelarasan berhubung perkara itu masih dalam proses perbincangan dan akan diputuskan Ogos depan.

"Ia termasuk penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000 akan dilaksanakan selepas kajian terperinci dilakukan," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini PTPTN bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengenalpasti maklumat pendapatan peminjam dan berharap mendapat kerjasama agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sementara itu, Wan Saiful turut menjelaskan berhubung isu tular di media sosial mengenai syarat baharu pinjaman PTPTN iaitu ibu bapa adalah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah tidak benar.

"Pembiayaan pengajian PTPTN terbuka kepada semua pelajar yang berhasrat menyambung pengajian di Universiti Awam atau Universiti Swasta tanpa mengira pendapatan keluarga termasuk penerima BR1M atau sebaliknya," katanya.

Berita Harian X