Rabu, 27 Jun 2018 | 8:01am
Tuanku Syed Sirajuddin bersama Tuanku Tengku Fauziah serta Tuanku Syed Faizuddin dan Dr Wan
Tuanku Syed Sirajuddin bersama Tuanku Tengku Fauziah serta Tuanku Syed Faizuddin dan Dr Wan

Hari Ibu dan Bapa disatukan

KANGAR: Kerajaan bercadang menjadikan Ahad minggu pertama Julai setiap tahun sebagai Hari Ibu dan Bapa bagi membolehkan sambutannya disambut serentak di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata hanya satu sambutan akan diadakan bagi menghargai komitmen ibu dan bapa mendidik dan membesarkan anak-anak.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sebelum ini sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa diasingkan sedangkan peranan kedua-duanya dalam membimbing anak adalah sama penting.

"Kesungguhan dan komitmen ibu bapa ini yang berjaya membentuk keluarga menjadi bahagia dan sejahtera.

"Sehubungan itu, minggu pertama Julai setiap tahun akan menjadi minggu sambutan Hari Ibu dan Bapa mengikut peringkat masing-masing," katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Kebangsaan 2018 di sini, hari ini.

Tuanku Syed Sirajuddin diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah serta Tuanku Syed
Tuanku Syed Sirajuddin diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah serta Tuanku Syed

Majlis bertemakan 'Ibu dan Bapa Anugerah Terindah' disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Yang turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Kukuh institusi

Dr Wan Azizah berkata, sambutan Hari Ibu dan Bapa pada tahun ini memberi fokus kepada pengukuhan institusi kekeluargaan melalui aktiviti interaktif kekeluargaan bagi mendidik pelbagai lapisan masyarakat.

"Dalam sambutan kali ini, aktiviti Art Therapy terbesar bertemakan Therapeutic Expressive Arts Inspiration for Mom and Dad akan menjadi tumpuan utama dalam usaha kita menjalin ikatan kasih sayang yang erat antara ibu, bapa dan anak.

"Marilah bersama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan insan bergelar ibu dan bapa, hargailah mereka walaupun hanya melalui perbualan telefon, ucapan sayang, pelukan, ciuman keluarga dan ingatan kepada mereka," katanya.

Ramlah diiktiraf Ibu Gemilang, Yahya Bapa Inspirasi

Siapa sangka di sebalik diri yang serba kekurangan dan berkerusi roda, tersimpan 1001 cerita yang mampu memberikan inspirasi kepada ibu bapa dalam mendidik anak.

Penerima Anugerah Ibu Gemilang, Ramlah Mohd Jali, 62, berkata beliau yang tidak boleh berjalan sejak lahir mengakui berhadapan cabaran membesarkan tiga anaknya akibat kekurangan yang dialaminya.

Namun katanya, kekurangan itu tidak pernah menjadi penghalang kepadanya membimbing semua anak, termasuk penyanyi kumpulan One Nation Emcees, Shamimi Amalina Norhisham, 31, atau dikenali sebagai Mimi Fly.

Ramlah (berkerusi roda) bersama sebahagian penerima Anugerah
Ramlah (berkerusi roda) bersama sebahagian penerima Anugerah

"Saya dilahirkan tidak boleh berjalan dan perlu menggunakan kerusi roda bagi menguruskan keluarga dan pada masa sama keluar bekerja setiap hari.

"Cuma cara saya mendukung anak, memasak, memandu, menaiki tangga dan keluar bekerja adalah berbeza berbanding ibu lain," katanya.

Puas lihat kejayaan anak

Ramlah yang pernah bekerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM), kini aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, dia bersyukur apabila tiga anaknya berjaya dalam hidup masing-masing dan ia adalah satu kepuasan melihat kejayaan mereka.

Bagi penerima Anugerah Bapa Inspirasi, Yahya Md Arif, 61, dari Bagan Serai, Perak yang pekak dan bisu, berhadapan cabaran membesarkan empat anak seorang diri selepas kematian isteri.

"Selepas isteri meninggal dunia 15 tahun lalu, saya yang membesarkan anak-anak. Mujur mereka sudah besar, memudahkan tugas harian saya.

"Saya sentiasa berpesan kepada anak-anak agar sentiasa berusaha dan jangan terlalu bergantung harap pada belas ihsan orang lain untuk berjaya," katanya melalui penterjemah.

Kini empat anaknya berjaya dalam pelajaran di peringkat tinggi dan ada antaranya bekerja di sektor awam dan swasta di ibu negara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X