Rabu, 27 Jun 2018 | 7:57pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua dari kanan) bersalaman dengan Ahli Majlis selepas majlis pengunguman Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). - Foto Danial Saad

48 Ahli Majlis baharu MBPP, MPSP dilantik

GEORGETOWN: Kerajaan negeri mengumumkan pelantikan 48 individu sebagai Ahli Majlis baharu bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata pelantikan itu membabitkan masing-masing 24 Ahli Majlis bagi MBPP dan MPSP dengan kesemuanya akan mengangkat sumpah pada minggu depan.

Beliau berkata, 15 daripada 24 Ahli Majlis MBPP itu adalah muka baharu dengan komposisi mengikut DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu 9:7:2:2:4, manakala MPSP pula menyaksikan 11 muka baharu membabitkan komposisi 9:8:2:2:3.

"Majlis angkat sumpah bagi pelantikan Ahli Majlis MPSP akan diadakan pada Isnin, manakala MBPP pula Selasa, minggu depan. Kesemua mereka akan menikmati elaun keseluruhan RM4,000 sebulan meliputi elaun bulanan RM2,500, elaun mesyuarat (RM1,200) dan bil telefon (RM300).

"Saya juga meletakkan jangkaan utama bahawa semua Ahli Majlis ini dapat meningkatkan tahap keefisienan masing-masing dalam melaksanakan dasar yang sudah digubal sebelum ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri, Teh Lai Heng.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Kerajaan Tempatan pula, Jagdeep berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi membentangkan perincian fakta kes berhubung tuntutan dikemukakan kerajaan negeri di mahkamah sebelum ini.

"Kita sudahpun mengadakan bengkel bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai perkara ini bagi meneliti peruntukan undang-undang sedia ada, selain menyediakan khidmat nasihat berkaitan," katanya.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menerima sumbangan RM425,000 bagi Tabung Harapan Malaysia (THM) yang disampaikan oleh Perusahaan Sindi Sdn Bhd (RM100,000), Malaysia-Singapore Coffee Shop Proprietors' General Association (RM125,000) dan Iconic Hotel (RM200,000).

Berita Harian X