Rabu, 27 Jun 2018 | 8:42pm
RINA pada sidang media berkenaan Penstrukturan Semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Putrajaya, hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Borhan Dolah (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan KPLB, Datuk Azizan Mohamed Sidin. - Foto BERNAMA
RINA pada sidang media berkenaan Penstrukturan Semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Putrajaya, hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Borhan Dolah (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan KPLB, Datuk Azizan Mohamed Sidin. - Foto BERNAMA

JKKK kini Majlis Pengurusan Komuniti Kampung

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kini dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun, berkata Kabinet bersetuju untuk penjenamaan semula itu selaras dengan tugasnya.

Pada masa sama, katanya, Kabinet juga bersetuju kadar elaun bulanan bagi anggota MPKK ditetapkan sebanyak RM500 bagi pengerusi, RM300 (setiausaha), RM100 bagi pengurusan mesyuarat dan RM50 bagi kehadiran mesyuarat.

"Kuasa dan urusan bagi pelantikan, pertukaran dan penamatan anggota MPKK kekal di bawah kuasa kerajaan negeri dan pentadbiran di bawahnya.

"Bagaimanapun, dalam melaksanakan kuasanya, kerajaan negeri hendaklah memastikan ia selaras dengan tatacara pengurusan MPKK yang ditetapkan kementerian dan dasar kerajaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, MPKK juga akan dianggotai sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita yang mampu untuk bersama-sama menyumbang tenaga, idea, perspektif dan kemahiran dalam pembangunan kampung.

Selain itu, katanya, MPKK akan mempunyai 11 biro baharu termasuk Biro Pembangunan Prasarana, Keselamatan dan Kesihatan, Pengurusan Kewangan, Ekonomi dan Keusahawanan dan Kebajikan dan Kesukarelawan.

"MPKK yang cemerlang juga akan diiktiraf dengan pemberian geran bernilai RM10,000 bagi tujuan kesejahteraan dan keceriaan kampung dengan geran siling tidak melebihi RM100 juta setahun.

"Kaedah dan syarat permohonan akan dimuktamadkan kementerian dalam masa terdekat. Geran ini akan memberi manfaat kepada 10,000 daripada 16,481 kampung di seluruh negara," katanya.

Ditanya bagaimana kaedah bantuan kepada kampung yang ditadbir pembangkang, Rina berkata kementeriannya sedang menjalankan kajian berhubung mekanisme pemberian bantuan dan kajian dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Beliau juga berkata, beberapa sekretariat ditubuhkan bagi menggerakkan inisiatif dilaksanakan kementerian merangkumi pembangunan kanak-kanak, pembangunan industri kecil dan produktiviti luar bandar, harga getah dan kajian semula insentif keusahawanan luar bandar.

"Sekretariat Pembangunan Kanak-Kanak akan menangani isu seperti keselamatan kanak-kanak, pemerdagangan manusia membabitkan kanak-kanak luar bandar dan juga kemudahan dan rawatan bagi kanak-kanak kelainan upaya.

"Sekretariat Mekanisme Penetapan Harga Getah ditubuhkan bagi menangani isu kejatuhan harga getah yang memberi kesan kepada industri dan pekebun kecil. Satu kajian komprehensif akan dilakukan bagi menangani isu ini," katanya.

Berita Harian X