Jumaat, 29 Jun 2018 | 9:30pm
DARI kanan: Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said; Timbalan Naib Canselor Akademik UiTM, Profesor Dr Mohamad Kamal Harun; Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM, Profesor Dr Mohd Nasir Taib dan Pengarah Pusat Satelit Komunikasi UiTM, Profesor Dr Mohamad Huzaimy Jusoh selepas menyaksikan siaran langsung dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat pada Pelancaran Satelit UiTMSAT-1 di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

UiTM, universiti pertama negara lancar nano-satelit ke angkasa

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini, melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama negara melancarkan UiTMSAT-1, nano-satelit pertama ke angkasa.

Nano-satelit kelahiran UiTM itu hasil kerjasama BIRDS-2 (Joint Global Multi-Nation) dengan Bhutan dan Filipina yang diterajui Kyushu Institute of Technology (KyuTech), Jepun.

Dua pelajar pasca siswazah UiTM mewakili Malaysia antara 10 pelajar yang bertanggungjawab dalam merealisasikan pembinaan dan pelancaran tiga nano-satelit BIRDS 2: UITMSAT-1, manakala pelajar dari negara Bhutan dan Filipina masing-masing menghasilkan BHUTAN-1 dan MAYA-1.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata pihaknya berbangga dengan kejayaan pelancaran UiTMSAT-1 di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat menerusi roket SpaceX Falcon 9, pada jam 5.46 petang tadi waktu tempatan (5.46 pagi waktu Amerika Syarikat).

"Alhamdulillah, sudah dilancarkan. Kita menunggu pertengahan Ogos ini apabila UiTMSAT-1 akan dibawa Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan dijadualkan dilepaskan ke orbit pada jarak 400 kilometer dari permukaan bumi.

"Terima kasih kepada pasukan yang membangunkannya, terutama dua pelajar kita di sana serta semua pihak terbabit dalam penghasilan satelit nano ini. Saya amat kagum dengan pencapaian ini.


NAIB Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said (kanan) mendengar penerangan model UiTMSAT-1 daripada Pengarah Pusat Satelit Komunikasi UiTM, Profesor Dr Mohamad Huzaimy Jusoh (dua dari kanan) sambil diperhatikan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM, Profesor Dr Mohd Nasir Taib (dua dari kiri); Timbalan Naib Canselor Akademik UiTM, Profesor Dr Mohamad Kamal Harun (kiri) pada Pelancaran Satelit UiTMSAT-1 di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

"Pelancaran UiTMSAT-1 ini menandakan permulaan kepada UiTM untuk lebih serius dalam pembangunan teknologi angkasa lepas, sekali gus membuktikan kemampuan warga kita dalam bidang ini," katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan lintas langsung pelancaran roket SpaceX Falcon 9 yang membawa satelit nano itu.

Pada majlis itu juga, dua pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Syazana Basyirah Mohammad Zaki dan Muhammad Hasif Azami turut serta pada sidang media secara langsung dari Jepun.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM, Prof Dr Mohd Nasir Taib; Timbalan Naib Canselor Akademik UiTM, Prof Dr Mohamad Kamal Harun serta Pengarah Pusat Komunikasi Satelit UiTM, Prof Dr Mohamad Huzaimy Jusoh.

Sementara itu, Mohamad Huzaimy berkata, UiTMSAT-1 akan mengorbit bumi dengan kelajuan lebih 23,000 kilometer dan melintasi ruang angkasa Malaysia lima kali sehari.

"Satelit ini mempunyai enam misi, antaranya pengambilan imej, menguji korelasi lokasi satelit, ujian cip Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), mengukur medan magnetik di angkasa untuk data pemetaan geomagnetik di rantau Asia Tenggara serta komunikasi radio.

"Data yang diperoleh daripada satelit ini akan disalurkan ke Pusat Satelit Komunikasi UiTM untuk tujuan penyelidikan," katanya.

Beliau berkata, projek terbabit bermula dengan perancangan mísi satelit pada Disember 2016, kemudian mereka bentuk dan membina model satelit, menguji, memasang, sebagai persediaan pelancaran dan menggerakkan satelit hari ini.

Berita Harian X