Isnin, 2 Julai 2018 | 12:41pm
MUSA Awang. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

JAHEIK didesak bertindak segera dalam isu pernikahan kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendesak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) segera menyiasat bagi membolehkan pihak yang terbabit dalam majlis pernikahan kanak-kanak 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun didakwa di mahkamah.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata secara asasnya mereka yang terbabit dalam penikahan itu melakukan pelbagai bentuk kesalahan mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002.

Beliau berkata, pertamanya ialah kesalahan menikahkan anak bawah umur tanpa kebenaran mahkamah, bagi bapa atau wali pengantin 11 tahun itu.

Keduanya, kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah bagi pasangan lelaki 41 tahun.

"Ketiganya ialah kesalahan bersubahat bagi semua pihak yang hadir dalam majlis itu termasuk ibu, saksi dan ejen yang membawa mereka bernikah di Selatan Thailand.

"Setiap kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya denda dan penjara, setiap satu kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak Jumaat lalu, gambar perkahwinan lelaki berusia 41 tahun dan sudah beristeri dua dengan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun viral di media sosial dan mengundang kecaman netizen.

Perkahwinan itu dikatakan berlangsung di Selatan Thailand baru-baru ini.

Musa berkata, apa juga alasan yang diberikan, PGSM berpendapat mereka sudah mencabar undang-undang dan institusi Islam termasuk Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri Kelantan.

Katanya, PGSM juga berpandangan sudah tiba masanya kerajaan negeri mempertingkatkan hukuman denda dan penjara bagi kesalahan menikahkan anak bawah umur dan kesalahan berpoligami tanpa kebenaran.

"Menaikkan jumlah denda maksimum daripada RM1,000 kepada denda RM5,000 atau daripada penjara enam bulan kepada penjara tiga tahun," katanya.

Berita Harian X