Selasa, 3 Julai 2018 | 12:46pm
SYED Saddiq bergambar bersama warga KBS pada majlis Selamat Datang ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tidak mahu pentadbiran dicorakkan budaya balas dendam - Syed Saddiq

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau tidak mahu pentadbiran baharu kementerian diterajuinya itu dicorakkan dengan budaya membalas dendam.

Beliau menegaskan, pendekatan menonjolkan kesalahan dan kesilapan lalu bukan cara terbaik menyerlahkan namanya sebagai menteri.

Katanya, adalah lebih baik beliau memfokus terhadap perkara perlu diutamakan ketika ini supaya setiap idea dan usaha dapat ditawarkan kepada rakyat.

"Saya menekankan bahawa saya tidak mahu pentadbiran baharu ini diwarna dan dicorakkan dengan budaya membalas dendam yang menyerlahkan keupayaan melalui cara menjatuhkan pemimpin terdahulu.

"Justeru, saya mahu lebih memfokus terhadap perkara yang kita boleh buat dan tawarkan kepada rakyat.

"Jika ada kesilapan lalu, ia tidak akan diulangi lagi. Oleh itu, saya akan menunggu penjelasan penuh daripada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta melihat apa yang kita boleh lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetik kad perakam masa di lobi Menara KBS, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Lokman Hakim Ali.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, fokusnya merangkumi aspek penyelesaian kerana perkara itu menjadi tumpuan utama anak muda kini.

"Jika kita hanya membicarakan perkara lepas, mereka akan tanya apa yang kita boleh tawarkan.

"Antaranya, bagaimana mahu menangani keperluan untuk rumah mampu milik, menyelesaikan isu kos sara hidup dan memastikan peluang pekerjaan dicipta.

"Ini ialah antara isu yang mereka mahu dengar. Itulah yang saya akan berikan tumpuan pada masa akan datang di KBS," katanya.

Berita Harian X