Selasa, 3 Julai 2018 | 4:11pm

RM2 bilion setahun untuk selenggara jalan persekutuan

KUALA LUMPUR: Penambahan peruntukan tahunan bagi penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara kepada RM2 bilion antara fokus utama Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang memulakan tugasnya hari ini.

Ahli Parlimen Selangau itu berkata sejak tiga tahun lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) hanya menerima antara RM600 hingga RM800 juta bagi membaik pulih jalan persekutuan dan jumlah itu tidak mencukupi.

Beliau berkata, peruntukan RM2 bilion akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet untuk dimasukkan dalam Bajet 2019.

"Saya dimaklumkan sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun diperlukan untuk menyelenggara jalan persekutuan tetapi KKR hanya diberi peruntukan antara RM600 hingga RM800 juta setahun dan jumlah ini tidak sampai pun 50 peratus daripada bajet yang diperlukan.

"Saya akan bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet mengenai bajet sebenar penyelenggaraan jalan. Ini kerana kitaran hayat penurapan semula adalah setiap enam dan tujuh tahun

"Ketika ini 30 peratus jalan persekutuan berada dalam keadaan teruk sedangkan jalan ini menjadi rangkaian kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara," katanya pada sidang media di Kompleks Kerja Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Anuar Tahir yang juga baru memasuki pejabatnya pagi ini.

Baru antara 13 menteri yang mengangkat sumpah semalam untuk menyertai 13 menteri lain yang sudah memulakan tugas bulan lalu.

Terdahulu Baru dan Anuar diberikan taklimat oleh Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Zohari Akob. Majlis serah terima tugas daripada bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof turut berlangsung selepas sidang media.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'kelalan turut beriltizam untuk menyelesaikan isu 394 sekolah daif di seluruh termasuk 245 sekolah di bawah bidang kuasa KKR.

Ketika ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengendalikan kerja-kerja menaik taraf 158 sekolah di Semenanjung, manakala masing-masing 37 dan 50 sekolah di Sarawak dan Sabah.

Bagi menyelesaikan isu berkenaan, beliau mencadangkan KKR bekerjasama dengan kementerian lain khususnya Kementerian Pendidikan bagi membantu negeri seperti Sabah dan Sarawak dalam usaha mempercepatkan projek menaik taraf sekolah berkenaan.

"Semua sekolah daif di Semanjung diberi kepada KKR untuk dinaik taraf tetapi di Sabah dan Sarawak ada di bawah kendalian KKR dan ada diteruskan oleh Kementerian Pendidikan.

"Saya dimaklumkan, semua projek yang diberikan kepada KKR dilaksanakan dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Baru berkata, kementeriannya akan memberi keutamaan terhadap projek infrastruktur di lima negeri yang dianggap masih mundur dan miskin iaitu Perlis, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Untuk itu, katanya KKR akan memberi keutamaan dalam projek lima tahun akan datang.

"KKR akan melaksanakan semua projek yang diluluskan untuk tempoh lima tahun yang akan dilaksanakan sehingga 2020 kecuali jika ada keperluan untuk dikaji semula terutama dari segi kos.

"Dari segi infrastruktur, saya percaya bukan hanya lima negeri memerlukan tumpuan KKR, ada negeri lain yang masih memiliki infrastruktur tidak memuaskan dan kita akan teliti di banyak kawasan, namun fokus keutamaan kita adalah lima negeri yang selama ini tidak mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur negara," katanya.

BARU Bian. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X