Selasa, 3 Julai 2018 | 4:12pm
Duta Besar Malaysia ke China/Mongolia, Datuk Zainuddin Yahya. - Foto BERNAMA
Duta Besar Malaysia ke China/Mongolia, Datuk Zainuddin Yahya. - Foto BERNAMA

Pulih hubungan dengan Mongolia

ULAANBAATAR (Mongolia): Kunjungan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Mongolia hari ni diharap dapat memulihkan semula hubungan kedua-dua negara yang renggang terutama selepas kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Timbalan Perdana Menteri dijadual tiba di sini lewat petang ini untuk menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) bermula hari ini hingga Jumaat ini.

Ia juga adalah lawatan kerja rasmi pertama Dr Wan Azizah ke luar negara sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Duta Besar Malaysia ke China/Mongolia, Datuk Zainuddin Yahya, berkata kes kontroversi membabitkan model Mongolia itu sedikit sebanyak menjejaskan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.

"Kerajaan Mongolia dalam surat tahniah kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyelitkan isu itu.

"Saya harap kunjungan Timbalan Perdana Menteri ke sini dapat menghidupkan semula hubungan Malaysia dan Mongolia bermula di peringkat menteri.

"Kerajaan sudah memberi mesej jelas (dengan membuka semula siasatan kes Altantuya)," katanya pada taklimat media sempena persidangan itu, hari ni.

Hadir sama Pengarah Bahagian Mitigasi, Sektor Perancangan dan Dasar Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA), Bibi Zarina Che Omar dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Mitigasi NADMA, Che Siti Noor Che Mamat.

Siasatan kes Altantuya dibuka semula susulan laporan polis baharu yang dibuat bapanya Dr Setev Shaariibuu pada 20 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, hubungan kedua-dua negara yang terjalin sejak 1971 sememangnya lembap dan ia diburukkan lagi dengan kes terbabit.

"Kali terakhir lawatan rasmi pemimpin Malaysia ke sini adalah pada 1997 ketika zaman Dr Mahathir.

"Lawatan membabitkan agensi kerajaan dan swasta kedua-dua negara juga tidak banyak," katanya.

Zainuddin berkata, hubungan kedua-dua negara terhad pada forum antarabangsa tapi ruang untuk sektor ekonomi sebenarnya terbuka luas.

"Nilai dagangan dua hala pada tahun lalu hanya RM73.6 juta manakala pada 2016 RM66.7 juta.

"Malaysia mengeksport antaranya barangan makanan, minyak sawit dan produk berasaskannya serta produk perkayuan manakala eksport Mongolia adalah produk tenusu dan berasaskan bulu haiwan serta besi buruk," katanya.

Berita Harian X