Selasa, 3 Julai 2018 | 6:13pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Jadual padat TPM di Mongolia

ULAANBAATAR (Mongolia): Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan terbabit dalam lima acara penting sempena Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurusan Risiko Bencana (AMCDRR) di sini esok.

Duta Besar Malaysia ke China/ Mongolia, Datuk Zainuddin Yahya, berkata Timbalan Perdana Menteri akan menyampaikan kenyataan Malaysia berhubung dengan inisiatif, pelaksanaan, pencapaian dan cabaran negara dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai Bagi Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR) dalam sesi Ministerial Statements, jam 9 pagi.

Beliau berkata, seterusnya jam 2.15 petang, Dr Wan Azizah akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Asia bersama negara yang pernah menjadi tuan rumah kepada AMCDRR.

"Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi ketiga di Kuala Lumpur pada tahun 2008.

" Objektif mesyuarat ini ialah untuk berkongsi maklumat, pengalaman dan bertukar-tukar pendapat serta perancangan negara ke arah pengurangan dan pengurusan risiko bencana," katanya pada taklimat media sempena persidangan itu, hari ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Mitigasi, Sektor Perancangan dan Dasar, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA), Bibi Zarina Che Omar dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Mitigasi NADMA, Che Siti Noor Che Mamat.

Zainuddin berkata, kemudian Dr Wan Azizah akan menyampaikan ucap tama berkaitan 'Keeratan Agenda 2030 Bagi Sasaran Pembangunan Terkawal' dalam Sesi Teknikal pada jam 4.30 petang.

"Beliau turut bersetuju untuk mengadakan perbincangan dua hala dengan Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Pengurangan Risiko Bencana, Mami Mizutori.

"Ini diikuti kunjungan hormat daripada Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Sosio-Kebudayaan ASEAN H. E Vongthep Arthakaivalvatee; Pengarah Eksekutif Pusat Kawal Selia Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre), Adelina Kamal; Pengerusi Kumpulan Penasihat Teknologi dan Saintifik UNISDR, Prof Rajib Shaw dan Exco Program Pembangunan dan Operasi Mercy Malaysia, Norazam Samah," katanya.

Beliau berkata, sidang media Timbalan Perdana Menteri bersama wartawan Malaysia akan diadakan sejurus program rasmi iaitu jam 5.30 petang."Program Dr Wan Azizah berakhir dengan majlis makan malam yang dihoskan kedutaan."Beliau akan bertolak pulang pagi Khamis," katanya.

Info AMCDRR:

  • Setiap dua tahun, pemimpin politik negara rantau Asia dan Pasifik dalam pengurusan bencana akan berkumpul untuk mengemas kini kemajuan pelaksanaan SFDRR ke arah pengurangan risiko bencana melalui Platform Serantau bagi Pengurangan Risiko Bencana.
  • Platform membincangkan mekanisme serantau dalam menangani isu berkaitan pengurangan risiko bencana di rantau Asia dan Pasifik.
  • Penganjuran AMCDRR kali ke-8 ini dihoskan bersama oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pengurusan Risiko Bencana (UNISDR) dan kerajaan Mongolia dengan tema 'Menghalang Risiko Bencana: Melindungi Pembangunan Terkawal'.
  • Komitmen pemimpin politik untuk AMCDRR kelapan ini akan diterjemahkan melalui Deklarasi Ulanbaatar dan Pelan Tindakan Serantau 2018-2020 Jumaat ini.
Berita Harian X