Selasa, 3 Julai 2018 | 7:57pm
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hadir ke Ibu Pejabat SPRM dipercayai bagi memberi keterangan berhubung isu penyaluran dana oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. - Foto Abd Rahim Rahmat
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hadir ke Ibu Pejabat SPRM dipercayai bagi memberi keterangan berhubung isu penyaluran dana oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. - Foto Abd Rahim Rahmat

Akaun Shahrir, UMNO Johor Bahru dibekukan

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, mengesahkan akaun peribadinya serta akaun UMNO Bahagian Johor Bahru antara yang dibekukan oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB.

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, berada di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi memberi keterangan berhubung dana RM1 juta diberikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada November 2013.

Susulan itu, akaun peribadinya turut dibekukan selain dikehendaki hadir memberi keterangan kepada SPRM hari ini.

Shahrir berkata, beliau tidak tahu mengenai punca dana yang disalurkan kepadanya oleh Najib, namun menganggap pemberian itu diberikan oleh Presiden UMNO.

"Saya bertemunya untuk memohon dana itu atas kapasitinya sebagai Presiden UMNO ketika itu dan saya pula sebagai ketua bahagian UMNO.

"Saya memohon dana itu untuk membantu membiayai kegiatan politik di Johor Bahru dan dana itu saya anggap sebagai dana politik," katanya.

Berita Harian X