Selasa, 3 Julai 2018 | 10:51pm
WAN Azizah akan terbabit dalam lima acara penting sempena Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurusan Risiko Bencana (AMCDRR) di Mongolia, esok. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
WAN Azizah akan terbabit dalam lima acara penting sempena Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurusan Risiko Bencana (AMCDRR) di Mongolia, esok. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

TPM terbabit lima acara penting

ULAANBAATAAR (MONGOLIA): Datuk Seri Dr Wan Azizah akan terbabit dalam lima acara penting sempena Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurusan Risiko Bencana (AMCDRR) di sini, esok.

Duta Besar Malaysia ke China/ Mongolia, Datuk Zainuddin Yahya, berkata Timbalan Perdana Menteri dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia berhubung dengan inisiatif, pelaksanaan, pencapaian dan cabaran negara dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai Bagi Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR) dalam sesi kenyataan rasmi pada jam 9 pagi.

Beliau berkata, seterusnya pada jam 2.15 petang, Dr Wan Azizah akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Asia bersama negara yang pernah menjadi tuan rumah kepada AMCDRR.

"Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi ketiga di Kuala Lumpur pada 2008. Objektif mesyuarat ini ialah untuk berkongsi maklumat, pengalaman dan bertukar-tukar pendapat serta perancangan negara ke arah pengurangan dan pengurusan risiko bencana," katanya pada taklimat media sempena persidangan itu, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Mitigasi, Sektor Perancangan dan Dasar, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA), Bibi Zarina Che Omar dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Mitigasi NADMA, Che Siti Noor Che Mamat.

Zainuddin berkata, Dr Wan Azizah kemudian akan menyampaikan ucaptama berkaitan 'Keeratan Agenda 2030 Bagi Sasaran Pembangunan Terkawal' dalam Sesi Teknikal pada jam 4.30 petang.

"Beliau turut bersetuju untuk mengadakan perbincangan dua hala dengan Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Pengurangan Risiko Bencana, Mami Mizutori.

"Ini diikuti kunjungan hormat daripada Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Sosio-Kebudayaan ASEAN Vongthep Arthakaivalvatee; Pengarah Eksekutif Pusat Kawal Selia Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre), Adelina Kamal; Pengerusi Kumpulan Penasihat Teknologi dan Saintifik UNISDR, Prof Rajib Shaw serta EXCO Program Pembangunan dan Operasi Mercy Malaysia, Norazam Samah," katanya.

Beliau berkata, sidang media Timbalan Perdana Menteri bersama wartawan Malaysia akan diadakan sejurus program rasmi, iaitu pada jam 5.30 petang.

"Program Dr Wan Azizah berakhir dengan majlis makan malam yang dihoskan kedutaan. Beliau akan bertolak pulang pagi Khamis," katanya.

Berita Harian X