Selasa, 3 Julai 2018 | 11:08pm
WAN Azizah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chinggis Khaan Ulaanbaatar, Mongolia jam 7.30 malam ini untuk menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR). - Foto NSTP
WAN Azizah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chinggis Khaan Ulaanbaatar, Mongolia jam 7.30 malam ini untuk menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR). - Foto NSTP

TPM pilih pesawat komersial untuk berjimat

ULAANBAATAAR (MONGOLIA): Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memilih menaiki pesawat komersial untuk menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR), di sini walaupun beliau layak menaiki pesawat rasmi kerajaan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri sanggup transit kira-kira enam jam seperti individu biasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam semalam.

Lebih menarik, Dr Wan Azizah tidak mahu menerima layanan berlebihan sebagai kenamaan VVIP, sedangkan ia lawatan kerja rasmi pertama beliau ke luar negara sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Mei lalu.

Ketibaan Dr Wan Azizah yang mengetuai delegasi negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Chinggis Khaan pada jam 7.30 malam tadi disambut Duta Besar Malaysia ke China/ Mongolia, Datuk Zainuddin Yahya.

Yang turut menyertai rombongan itu ialah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA), Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Selain NADMA, delegasi negara kira-kira 15 orang turut membabitkan wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Mercy Malaysia.

Sebelum itu, Zainuddin pada sidang media bersama wartawan Malaysia berkata, Dr Wan Azizah juga hanya mahu menginap di bilik biasa di Hotel Shangri-la, di sini.

"TPM sendiri yang membuat keputusan itu kerana baginya ia lebih menjimatkan, ia juga sebahagian langkah berjimat-cermat kerajaan," katanya.

AMCDRR edisi kelapan itu berlangsung bermula hari ini hingga Jumaat ini, bagaimanapun Dr Wan Azizah hanya terbabit pada sesi esok dan dijadual berlepas pulang pada jam 8.40 pagi berikutnya.

Difahamkan, beliau mempunyai jadual yang ketat terutama esok sempena AMCDRR dan akan menghadiri tiga mesyuarat utama selain menerima kunjungan hormat daripada individu-individu terkemuka di luar persidangan.

Beliau mewakili suara Malaysia pada sesi Kenyataan Rasmi, Mesyuarat Pemimpin Asia dan Sesi Teknikal di AMCDRR, yang menjadi pentas membincangkan mekanisme serantau bagi menangani isu berkaitan pengurangan risiko bencana di rantau Asia Pasifik.

Lebih 3,000 perwakilan dari 50 negara Asia Pasifik berhimpun di ibu negara Mongolia bagi menghadiri persidangan bertema 'Mencegah Risiko Bencana: Melindungi Pembangunan Lestari' itu.

Berita Harian X