Rabu, 4 Julai 2018 | 3:13pm
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sesi Kenyataan Menteri-Menteri pada Persidangan Menteri-Menteri Asia Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) yang berlangsung selama empat hari bermula dari 3 hingga 6 Julai hari ini. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Asia Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) hari ini. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sesi Kenyataan Menteri-Menteri pada Persidangan Menteri-Menteri Asia Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) yang berlangsung selama empat hari bermula dari 3 hingga 6 Julai hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia perkasa inisiatif DRR

ULAANBAATAR (Mongolia): Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, Malaysia sudah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memperkasa pengurangan risiko bencana (DRR) dalam agenda pembangunannya demi masa depan negara.

Sebagai contoh, Timbalan Perdana Menteri berkata, Panel Sains dan Teknikal mengenai DRR ditubuhkan bagi menyediakan panduan saintifik berkaitan pengurusan risiko bencana untuk pertimbangan dasar, dan memberikan input berasaskan bukti bagi menyokong aktiviti operasi Platform Nasional untuk Pengurangan Risiko Bencana.

"Pengurangan risiko bencana akan berjaya dengan penerapan sains dan teknologi yang berkesan untuk menyokong proses membuat keputusan," katanya ketika menyampaikan Kenyataan Menteri pada Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Malaysia juga membangunkan Rancangan Sains, Teknologi dan Inovasi untuk DRR bagi menangani jurang pengetahuan secara menyeluruh dan sistematik mengenai bahaya semasa dan baharu muncul, termasuk mengambil pendekatan bersepadu untuk pengurangan risiko bencana dan penyesuaian perubahan iklim, bagi memastikan pembangunan mampan.

Beliau berkata, pelaksanaan rancangan itu, yang kini sedang menunggu pengesahan oleh kerajaan, memerlukan komitmen daripada banyak pihak berkepentingan.

Dr Wan Azizah menegaskan usaha menangani cabaran bahaya gempa bumi juga amat penting di Malaysia.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membangunkan Standard Malaysia (MS), untuk semua pembangunan masa depan bagi memastikan bangunan tahan kepada gempa bumi dan disokong oleh Peta Bahaya Gempa Bumi Kebangsaan.

Katanya, standard ini sudah digunakan di kawasan yang mempunyai kecenderungan berlaku gempa bumi di Sabah.

Dr Wan Azizah berkata, beberapa inisiatif sedang dilaksana untuk memajukan pengurangan risiko bencana di peringkat tempatan, dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memimpin usaha untuk membangunkan rangka kerja perundangan kebangsaan bagi pengurangan risiko bencana yang akan berfungsi sebagai payung kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, penubuhan platform pelbagai bahaya juga sedang dijalankan di Kuala Lumpur untuk mengurus dan menyampaikan risiko yang lebih baik dalam meningkatkan daya tahan bencana di bandar berkenaan.

"Dalam inisiatif ini, parameter meteorologi (seperti hujan, suhu dan kelajuan angin) dikurangkan ke peringkat bandar untuk kali pertama di rantau ini, digunakan bagi menilai risiko banjir kilat, tanah runtuh, penenggelaman, angin kencang, udara pencemaran dan haba bandar.

"Projek perintis ini akan menghasilkan sistem peramalan bahaya berbilang bandar yang pertama untuk kawasan tropika," katanya.

ACMDRR adalah platform untuk membincangkan mekanisme serantau dalam menangani isu mengurangkan risiko bencana di rantau Asia Pasifik.

Lebih 3,000 wakil dari negara Asia Pasifik menyertai persidangan itu yang berakhir Jumaat ini.

Berita Harian X