Rabu, 4 Julai 2018 | 4:51pm
Farrah Madihah Othman, membawa mayat anaknya, Adam Rayqal Mohd Sufi, yang ditemui mati di rumah pengasuh untuk dibawa ke Terengganu sambil diperhatikan suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi,di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL). - Foto Rosdan Wahid

'Kita akan berjumpa di syurga'

KUALA LUMPUR: "Adam sayang. Sejuk ya dalam peti itu. Tak apa nanti masuk syurga semua indah-indah yang Adam dapat. Ingat pesan mama, jaga diri di sana. Nanti mama papa datang ya sayang, kita mandi buih lagi. Innallilahiwainnalillahirojiun. Terima kasih kepada semua kawan, saudara-mara dan rakyat Malaysia kerana berusaha cari Adam dan doa baik-baik untuk Adam".

Itu luahan Farrah Madihah Othman, 28, ibu kepada bayi lelaki, Adam Rayqal Mohd Sufi berusia lima bulan, yang ditulis pada status dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya pagi tadi, selepas mayat anaknya ditemui dalam peti ais di rumah pengasuhnya, malam kelmarin.

Usaha wartawan untuk menemuramah Farrah Madihah dan suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, gagal apabila mereka mengelak bertemu serta bercakap dengan wartawan yang berkumpul di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, sejak jam 9 pagi tadi.

Malah, kenalan, ahli keluarga dan rakan sekerja Farrah Madihah yang juga jururawat di hospital berkenaan turut berkumpul di IPFN HKL seawal jam 9 pagi sebaik menerima berita kematian Adam Rayqal.

Bapa saudara Mohd Sufi, Abdul Rahim Ismail, 54, berkata ibu bapa mangsa masih dalam keadaan lemah selepas kehilangan anaknya dan ahli keluarga sedih serta marah dengan tindakan pengasuh terbabit.

"Ketika saya menziarahi mereka, awal pagi tadi, datuk dan nenek Adam Rayqal dari Terengganu juga sudah tiba di kediaman Mohd Sufi di Taman Amaniah, Batu Caves, kira-kira jam 3 pagi tadi.

"Mereka juga berasa sedih dan marah dengan kejadian ini," katanya ketika ditemui di IPFN HKL, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, sebelum ini, mangsa dijaga ahli keluarga di Kuala Terengganu sebelum dia dijaga pengasuh berkenaan kira-kira seminggu lalu.

"Saya difahamkan mereka mengenali pengasuh ini melalui Facebook dan kenalan.

"Mohd Sufi memberitahu pengasuh itu sentiasa menghantar mesej kepada isterinya mengenai keadaan dan perkembangan Adam Rayqal pada setiap jam sepanjang berada di bawah jagaannya," katanya.

Ketika ditanya mengenai laporan bedah siasat terhadap jenazah Adam Rayqal, Abdul Rahim enggan mengulas lanjut memandangkan kes itu masih dalam siasatan polis.

Farrah Madihah dan Mohd Sufi tiba di IPFN HKL pada jam 10.37 pagi tadi dengan ditemani beberapa ahli keluarga bagi proses pengecaman serta bedah siasat.

Jenazah Adam Rayqal selesai dibedah siasat pada jam 2 petang sebelum dimandi dan disembahyangkan di surau IPFN HKL pada jam 2.15 petang dan dibawa keluar pada jam 3.06 petang tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Ladang Sekolah, Kuala Terengganu, Terengganu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan turut hadir ke IPFN HKL pada jam 10.53 pagi dan meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menziarahi ibu bapa mangsa.

Selain itu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad turut meluangkan masa kira-kira 20 minit menziarahi keluarga mangsa selepas tiba di IPFN HKL pada jam 2.20 petang tadi.

Berita Harian X