Rabu, 4 Julai 2018 | 6:55pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan dalam Sesi Teknikal Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDDR) di Ulaanbaatar, hari ini. - Foto BERNAMA

3 SDG relevan dengan Malaysia

ULAANBAATAR, Mongolia: Tiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam Rangka Kerja Sendai sangat relevan dengan Malaysia, berikutan kebanyakan bencana di negara ini turut dipengaruhi iklim, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata ketiga-tiga SDG itu membabitkan Kemiskinan, Bandar dan Komuniti Lestari serta Tindakan Iklim.

"SDG 1 mengenai Kemiskinan adalah sasaran global untuk membina daya tahan golongan miskin dan mereka yang berada dalam situasi terdedah termasuk wanita dan kanak-kanak terhadap peristiwa ekstrem berkaitan iklim, kejutan ekonomi dan sosial serta alam sekitar dan bencana pada 2030.

"SDG 11 membabitkan Bandar dan Komuniti Lestari bermatlamat mengurangkan jumlah kematian dan bilangan mangsa bencana, sekali gus mengurangkan kerugian disebabkan bencana seperti banjir dengan tumpuan melindungi golongan miskin dan orang yang berpotensi menjadi mangsa bencana pada 2030.

"Terdapat tiga sasaran dalam SDG 13 mengenai Tindakan Iklim iaitu meningkatkan pendidikan, peningkatan kesedaran dan keupayaan manusia dan institusi mengenai pengurangan, penyesuaian, pengurangan kesan dan amaran awal perubahan iklim; mengintegrasikan langkah perubahan iklim ke dalam dasar, strategi dan perancangan negara; dan ketiga untuk menguatkan daya tahan dan kemampuan adaptasi terhadap bahaya berkaitan iklim dan bencana alam di semua negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Sesi Teknikal Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDDR) di sini, hari ini.

Rangka Kerja Sendai merujuk pada pelan 15 tahun pengurangan risiko bencana dari 2015 hingga 2030 hasil inisiatif Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNISDR) dan negara peserta.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, SDG mengenai Tindakan Iklim akan dikaji semula di Dialog Dasar Tahap Tinggi PBB pada 2019.

"Ini memerlukan tumpuan kepada aspek mengintegrasikan iklim dan risiko bencana ke dalam dasar, strategi dan perancangan nasional serta peningkatan inovasi kewangan dan sosial yang inovatif termasuk amaran awal dan peningkatan kesedaran.

"Kejadian hujan lebat dijangka menjadi lebih teruk dan kerap menyebabkan lebih banyak banjir, banjir kawasan baharu dan peristiwa lain berkaitan faktor iklim," katanya.

Sehubungan itu, Dr Wan Azizah berkata Malaysia memperkukuhkan pengurusan bencana dari segi institusi dengan memanfaatkan peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang berfungsi sebagai Pusat Fokus Kebangsaan untuk Rangka Sendai.

"Di bawah NADMA dengan sokongan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia, satu siri bengkel nasional telah diadakan untuk membangunkan petunjuk yang boleh digunakan untuk melaporkan sasaran kedua Rangka Kerja Sendai dan SDG.

"Penunjuk ini membantu meningkatkan kesesuaian dalam sistem pelaporan nasional dan mengenal pasti jurang dalam dasar, strategi dan perancangan di negara, terutama berkenaan dengan Dasar Kebangsaan mengenai Perubahan Iklim," katanya.

Beliau sebelum itu turut menghadiri Mesyuarat Pemimpin Asia selain mengadakan pertemuan dengan Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Pengurangan Risiko Bencana, Mami Mizutori; Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Sosio-Kebudayaan ASEAN, Vongthep Arthakaivalvatee; Pengarah Eksekutif Pusat Kawal Selia Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre), Adelina Kamal; Pengerusi Kumpulan Penasihat Teknologi dan Saintifik UNISDR, Prof Rajib Shaw; dan Exco Program Pembangunan dan Operasi Mercy Malaysia, Norazam Samah.

Dr Wan Azizah dijadual berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chinggis Khaan jam 8.40 pagi esok sebelum transit kira-kira 12 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan.

Beliau akan meluangkan masa bersama pelajar Malaysia di Korea Selatan sebelum pulang ke tanah air keesokannya.

Berita Harian X