Khamis, 5 Julai 2018 | 11:23am
FUZIAH Salleh. - Foto NSTP

Penentuan kuota haji tiada kaitan politik

PUTRAJAYA: Penentuan kuota haji tiada kaitan dengan unsur politik sebaliknya ia ditentukan berdasarkan populasi keseluruhan sesebuah negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh berkata justeru rakyat di negara ini dinasihatkan tidak perlu panik dan sentiasa merujuk kepada pihak yang sepatutnya sekiranya terdapat sebarang kemusykilan.

"Sebenarnya kuota haji ini jumlahnya biasanya kira-kira 30,000 setiap tahun dan ia bergantung kepada populasi sesebuah negara. Biasanya ia adalah 0.1 peratus daripada populasi keseluruhan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah portal berita kononnya kerajaan Arab Saudi akan menyekat atau mengurangkan kuota haji rasmi Malaysia pada musim ibadah berkenaan tahun ini.

Tabung Haji dalam satu kenyataan semalam mengesahkan kuota haji rasmi negara kekal sebanyak 30,200 seperti tahun lalu dan kuota terbabit adalah seperti yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi, iaitu sebanyak 0.1 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Terdahulu Fuziah menghadiri Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 2017 dan Majlis Graduasi Program Felo Muda Dakwah (FMD) YADIM Sesi 7/8 di sini, hari ini.

Berita Harian X