Khamis, 5 Julai 2018 | 11:26am
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melambai ke arah petugas Malaysia untuk pulang ke tanah air selepas menghadiri Persidangan Menteri Asia bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR), hari ini.- Foto BERNAMA
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melambai ke arah petugas Malaysia untuk pulang ke tanah air selepas menghadiri Persidangan Menteri Asia bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR), hari ini.- Foto BERNAMA

Laksana buah fikiran AMCDRR - TPM

ULAANBAATAR (Mongolia): Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia bersedia melaksanakan Deklarasi Ulaanbaatar dan Pelan Tindakan 2018-2020 yang dicapai dalam Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDDR).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kedua-duanya penting dalam usaha menggalakkan kesalinghubungan dan keterangkuman tindakan tempatan bagi menghalang risiko bencana masa depan dan memastikan pembangunan lestari.

"Pada masa sama menangani cabaran baharu perubahan iklim secara berkesan," katanya.AMCDRR kelapan yang disertai kira-kira 3,000 perwakilan dari negara Asia Pasifik berakhir esok.

Pada sidang media bersama wartawan Malaysia, Dr Wan Azizah berkata, persidangan itu memberi peluang kepada delegasi Malaysia yang diketuainya bekerjasama, bertukar idea dan memperkasa rangkaian terutama di kalangan negara peserta dalam usaha mengurangkan risiko bencana.

"Dalam keadaan iklim global tidak menentu, Malaysia juga berdepan cabaran mengurangkan risiko bencana.

"Contohnya kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu (beberapa tahun lalu). Kini kejadian gempa bumi berskala kecil kerap berlaku di Ranau," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Malaysia juga boleh berkongsi kepakaran dengan negara lain terutama dalam bidang latihan.

"Dari segi kemampuan melatih, Malaysia adalah yang kedua terbaik selepas Singapura," katanya.

Turut menyertai delegasi negara Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Duta Besar Malaysia ke China/ Mongolia, Datuk Zainuddin Yahya.

Berita Harian X