Khamis, 5 Julai 2018 | 1:43pm
DATUK Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus. - Foto NSTP

Tubuh majlis bencana - KP NADMA

ULAANBAATAR (Mongolia): Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berharap kerajaan dapat menubuhkan Majlis Bencana Negara bagi memperkasa usaha mengurangkan risiko bencana.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus, berkata majlis itu boleh mengambil alih peranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

"Saya percaya jika jawatankuasa ini diperkasa menjadi majlis, ia nampak lebih serius, dihormati selain mampu memainkan peranan lebih besar.

"Dengan pengaruh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) selaku pengerusi, perbincangan boleh dilakukan secara lebih kerap membabitkan semua pihak berkepentingan dalam isu berkaitan bencana," katanya ketika ditemui pada Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) di sini.

Jawatankuasa itu diwujudkan pada 11 Mei 1997 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ekoran daripada tragedi keruntuhan Pangsapuri Highland Towers di Hulu Klang, Selangor pada 11 Disember 1993.

Sementara itu, Ahmad Jailani berkata, pihaknya juga mahu skim insurans bencana diperluas bagi membantu mangsa mendapat ganti rugi setimpal.

"Setakat ini, projek perintis ketika banjir besar di Kemaman, Terengganu beberapa tahun lalu sedikit sebanyak memberikan hasil positif.

"Ia boleh diperluas ke seluruh negara, bukan hanya terhad pada mangsa banjir malah bencana alam lain.

"Bagaimanapun, ada beberapa kekangan yang perlu diatasi terutama membabitkan persetujuan syarikat insurans," katanya memberitahu cadangan itu sebahagian daripada inisiatif Pengurangan Risiko Bencana (DRR) pada masa depan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha mewujudkan inisiatif Rakan NADMA dengan kerjasama universiti tempatan.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa universiti bagi menyediakan pangkalan data yang baik.

"Kalau pangkalan data berkesan, kita boleh elakkan sebagai contoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tak berdaftar penipu sebagai rakan, kalau NGO macam Mercy Malaysia ok lah," katanya.

AMCDRR turut disertai wakil dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berita Harian X