Khamis, 5 Julai 2018 | 5:21pm

FGV jaga pekebun kecil, peneroka

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) komited memperjuangkan semua isu berkaitan pekebun kecil di peringkat antarabangsa, terutama dalam keadaan peluang industri beroperasi dicabar susulan beberapa sebab tertentu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, berkata FGV sentiasa menghormati dan memelihara hubungan baik dengan pembekal buah tandan segar (BTS) merangkumi pekebun kecil dan peneroka.

"FGV menyokong lebih 112,000 peneroka FELDA yang menghasil dan membekalkan sepertiga BTS daripada keseluruhan yang diproses FGV.

"Satu pertiga lagi diperoleh daripada 350,000 hektar ladang diuruskan FGV menerusi Perjanjian Sewa Tanah (LLA) dengan FELDA," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas desakan Presiden Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, supaya FGV tidak mengeluarkan kenyataan mengguris peneroka FELDA.

Zakaria berkata, FGV membayar RM250 juta setiap tahun kepada FELDA untuk pajakan tanah itu dan berkongsi 15 peratus keuntungan tahunan dari tanah berkaitan LLA dengan FELDA.

"Sejak penyenaraian, FGV tidak pernah gagal membayar dividen kepada pemegang sahamnya," katanya.

Beliau berkata, Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF) memiliki 5.15 peratus saham dalam FGV pada 1 Jun lalu atau 187,966,608 saham, bukan 800 juta saham seperti dilaporkan.

"Kami akan terus memastikan semua pemegang saham mendapat manfaat daripada pertumbuhan dan kejayaan FGV," katanya.

Zakaria berkata, FGV berbangga dengan asal usulnya daripada program pekebun kecil pertama di Malaysia yang ditubuhkan di bawah FELDA.

Katanya, FGV mempunyai genetik hampir sama dengan FELDA dan terus bekerjasama rapat dengan pekebun kecil dan peneroka yang membantu menghubungkan petani dengan pasaran.

"Malah, FGV diakui antara penyokong terbesar pekebun kecil di dunia.

"Selepas enam tahun penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, FELDA kekal sebagai pemegang saham terbesar kami dan peneroka kekal sebagai pihak berkepentingan kami," katanya.

Berita Harian X