Isnin, 9 Julai 2018 | 12:23pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Syed Saddiq dakwa laman web KBS disabotaj, belum lantik SUA

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa laman web rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mungkin disabotaj pihak tidak bertanggungjawab.

Susulan itu, beliau sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali, supaya tindakan susulan dapat diambil.

Katanya, nama Setiausaha Akhbar (SUA) yang tertera di laman web rasmi itu adalah tidak benar kerana sehingga kini, beliau tidak pernah melantik mana-mana individu menjawat jawatan berkenaan.

"Sehingga kini tiada sebarang lantikan dibuat dan kini kami sedang memuktamadkan calon sesuai untuk jawatan terbabit.

"(Nama yang tertera dalam laman web rasmi kementerian) Numan Afifi ialah kawan saya dan dia banyak membantu mengenai media dari awal sehingga berada di posisi sekarang.

"Dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perkhidmatannya sehingga SUA dilantik secara rasmi," katanya kepada media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Terdahulu, pengamal media berkumpul di hadapan bangunan KBS sejak jam 7.30 pagi selepas dimaklumkan terdapat perhimpunan aman sebagai tanda bantahan kepada Syed Saddiq kerana didakwa melantik pegawai khas daripada golongan gay.

Bagaimanapun, sehingga jam 11 pagi, tiada seorang anggota kumpulan bantahan itu berada di hadapan bangunan KBS.

Sementara itu, Numan Afifi dalam satu kenyataan berkata, beliau hanya membantu Syed Saddiq sementara menunggu SUA dilantik secara rasmi.

Beliau berkata, mustahil untuknya menjalankan amanah diberi kerana mendapat kecaman dan ancaman daripada netizen dan atas sebab itu, mengambil keputusan untuk berhenti.

Sebelum ini, pelantikan Numan turut dikritik pengguna media sosial dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kerana Numan yang juga Presiden Kempen Pelangi pernah menjadi tumpuan media kerana menganjurkan program 'Iftar Gay' pada Jun 2017.

Program itu dikecam pelbagai pihak kerana penganjur didakwa seolah-olah mempermainkan hukum Allah.

Berita Harian X