Selasa, 10 Julai 2018 | 2:49pm
TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith (tiga kanan) memotong pulut kuning bersama pesara RTM pada Majlis Konsert Kenangan lalu Mestika D'Klasik bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 di RTM. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith (tiga kanan) memotong pulut kuning bersama pesara RTM pada Majlis Konsert Kenangan lalu Mestika D'Klasik bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 di RTM. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kerajaan iltizam banteras pornografi kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan usaha membanteras jenayah pornografi kanak-kanak dengan mewujudkan pelbagai kerjasama dengan pihak berkepentingan khususnya pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, berkata isu pornografi kanak-kanak adalah agenda penting untuk diperjuangkan dalam kementerian.

"Membanteras kegiatan ini adalah matlamat utama kami. Saya percaya ada kerjasama dengan pihak polis, tetapi dalam bentuk apa itu tidak diputuskan lagi," katanya ketika ditemui menghadiri Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D'Klasik bersempena sambutan Hari RayaAidilfitri bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor dan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Abdul Muis Shefli.

Semalam laporan khas New Straits Times, menerusi temubual bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner, Ong Chin Lan, beliau berkata polis melancarkan perisian bagi mengesan kegiatan pornografi kanak-kanak.

Chin Lan dilaporkan berkata, Unit Tindakan Pencegahan Jenayah Internet Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) diperkenalkan bagi mengesan mereka yang melayari laman sesawang pornografi kanak-kanak.

"Selain mengesan jejak individu terbabit, peranti ini juga tahu lokasi, membina data dan kekerapan mereka melayari laman sesawang lucah itu dalam tempoh 24 jam," katanya.

Berita Harian X