Selasa, 10 Julai 2018 | 5:02pm
PRESIDEN PPPPPM, Datuk Abdul Raof Hussin. - Foto Baharom Bakar
PRESIDEN PPPPPM, Datuk Abdul Raof Hussin. - Foto Baharom Bakar

`Tidak bantah selagi kuota Bumiputera terjamin'

KUALA TERENGGANU: Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM) tidak membantah kelulusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menawarkan 1,000 tempat khas kepada pelajar Cina daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk program matrikulasi sesi 2018/2019.

Presiden PPPPPM, Datuk Abdul Raof Hussin berkata, tawaran kepada pelajar Cina yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu tidak membabitkan pengurangan kuota Bumiputera.

Katanya, PPPPM hanya akan membantah sekiranya tawaran itu membabitkan pengurangan kuota Bumiputera dan hasil maklum balas daripada KPM mendapati pengambilan pelajar Cina untuk mengikuti program matrikulasi adalah tambahan daripada jumlah sedia ada.

"Penambahan tawaran khas kepada pelajar kaum Cina itu tidak menjejaskan pengambilan pelajar Bumiputera ke program matrikulasi KPM," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat PPPPPM cawangan negeri, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik yang dilaporkan kementerian itu menawarkan1,000 tempat khas kepada pelajar Cina yang cemerlang SPM daripada kumpulan B40 ke program matrikulasi sesi 2018/2019.

Abdul Raof berkata, program matrikulasi KPM adalah satu program prauniversiti yang disediakan kerajaan bagi pelajar Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketika mengulas mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Abdul Raof berkata, PPPPM membantah dan mendesak kerajaan tidak mengiktiraf sijil berkenaan kerana silibus pembelajaran di sekolah menengah persendirian itu tidak memenuhi aspirasi kebangsaan.

Katanya, pengiktirafan UEC bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara (DPN) yang berteras dan berpaksikan kepada penyata Razak dikeluarkan pada 1956 serta laporan Abdul Rahman Talib pada 1960 serta Perkara 152 (1) Akta Pendidikan 1996.

"UEC tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum kebangsaan. Peperiksaan menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar, manakala kurikulum berkiblatkan Taiwan.

"Pengiktirafan UEC bertentangan dengan matlamat pendidikan negara bertujuan meletakkan murid berlainan bangsa, agama dan etnik di bawah satu bumbung untuk mewujudkan perpaduan kaum," katanya.

Berita Harian X