Selasa, 10 Julai 2018 | 5:06pm

Perketat undang-undang memandu ketika mabuk

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan memperketatkan undang undang terhadap individu yang memandu dalam keadaan mabuk sekiranya mempunyai keperluan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya akan melihat keberkesanan undang undang sedia ada untuk menyelesaikan isu terbabit sama ada hukuman sedia ada setimpal atau sebaliknya.

Menurutnya, kementerian akan mencari langkah terbaik supaya kejadian menimpa empat lelaki yang maut dirempuh pemandu mabuk di Tawau, Sabah tidak berulang.

"Saya amat kesal, dukacita dan sedih dengan kemalangan terbabit. Saya mengambil berat dan akan mencari jalan sekiranya undang-undang sedia ada tidak cukup ketat, kita akan memperketatkan.

"Buat masa ini, saya belum mendapat laporan lengkap mengenai kes itu, hanya baca laporan media saja tetapi saya akan meminta laporan lengkap berkenaan kes itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sebelum melepaskan 22 peserta konvoi ke Bangkok menaiki Porsche bagi menyambut Ulang Tahun Porsche ke-70 di Bangkok, Thailand di kementeriannya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan RM25,000 daripada peserta konvoi untuk diserahkan kepada Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan).

Sebelum ini, undang undang memperuntukkan individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengenakan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Dalam kejadian Ahad lalu, empat lelaki maut dan seorang lagi patah kaki kiri selepas dirempuh Toyota Vios ketika berada di kawasan parkir Pusat Komersial BDC (1Arena) di Jalan Chong Thien Vun, Tawau, Sabah.

Dalam kejadian 1.15 pagi terbabit, kereta yang dipandu wanita berusia 34 tahun itu turut melanggar Toyota Hiace serta dua kereta iaitu Perodua Bezza dan Perodua Myvi.

Dalam perkembangan lain, Siew Fook berkata, beliau sudah menyerahkan beberapa nama kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk dinilai bagi menggantikan Pengerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Jeneral (B) Tan Sri Abdullah Ahmad.

Katanya, nama yang diserahkan itu hanya cadangan dan keputusan akhir individu yang akan dilantik adalah prerogatif Perdana Menteri.

"Gaji bagi jawatan itu juga akan dinilai semula," katanya.

Sebelum ini, beliau mendedahkan gaji diterima Pengerusi MAVCOM adalah sebanyak RM85,000 sebulan, empat kali ganda daripada yang diterima Dr Mahathir.

ANTHONY Loke Siew Fook ketika sidang media selepas melancarkan peserta konvoi ke Bangkok menaiki kereta jenis Porsche sempena Sambutan Ulangtahun ke 70 Porche, di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
ANTHONY Loke Siew Fook ketika sidang media selepas melancarkan peserta konvoi ke Bangkok menaiki kereta jenis Porsche sempena Sambutan Ulangtahun ke 70 Porche, di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X